suria

Lelaki Warga India Dihukum Mati Edar Ketamin

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang warga India selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar 4.04kg ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dekat sini, tiga tahun lepas.

Najmudeen Abdul Kader, 27, seorang penjual cakera padat, didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Kaunter Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira 8.20 pagi pada 8 Ogos 2008.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid, berkata pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Naziah Mokhtar mengendalikan pendakwaan sementara Najmudeen diwakili peguam Sreekant Pillai.

Mengikut keterangan kes, seorang pegawai Kastam yang bertugas di kaunter pemeriksaan itu telah mengarahkan tertuduh yang baru tiba melalui penerbangan dari Mumbai, India, mengimbas bagasi yang dibawanya dan hasil imbasan mendapati terdapat imej yang mencurigakan.

Najmudeen kemudian telah diarah membuka bagasi tersebut yang berkunci kombinasi dan tertuduh sendiri telah membuka kunci kombinasi itu.

Pemeriksaan seterusnya mendapati terdapat 47 bekas kayu colok di dalam bagasi itu yang sebahagian besarnya mengandungi serbuk kristal putih disyaki dadah jenis ketamin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain