suria

Enam Ditahan Terlibat Kes Bunuh

KUALA LUMPUR: Enam lelaki bekas penagih dadah ditahan tidak sampai 24 jam selepas dipercayai terlibat dalam satu kes pembunuhan seorang tukang cuci di Jalan Pandan Indah, Ampang di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata kesemua mereka, berumur 22 hingga 45 tahun, ditahan dalam satu operasi di Jalan Chow Kit pada hari kejadian.

"Kira-kira pukul 10.30 pagi 1 Jan itu, kami menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang lelaki di sebuah rumah kedai yang menempatkan asrama untuk penghuni bekas penagih dadah sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Jalan Pandan Indah itu.

"Mayat berumur 37 tahun itu merupakan tukang cuci dan juga bekas penagih. Mayat kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat," katanya.

Amiruddin berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati ada kesan hentakan kuat di kepala mangsa dan satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan suspek yang terlibat.

Katanya, siasatan lanjut berjaya mengesan seorang suspek utama, 33, yang berkeliaran di Jalan Chow Kit kira-kira pukul 2 petang sebelum menahannya 45 minit kemudian.

Hasil siasatan lanjut, lima lagi suspek berjaya ditahan di kawasan sama tidak lama selepas penahanan suspek pertama itu.

Amiruddin berkata, kesemua yang ditahan merupakan bekas penagih dan siasatan mendapati kejadian berpunca daripada salah faham.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 10 Jan ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain