suria

Dua Rakan Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Merompak

SHAH ALAM: Seorang peniaga pasar malam dan rakannya, pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap tiga orang wanita.

V. Ravindran, 32, dan S. Sujendran, 25, didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi yang masih bebas pada pukul 11.30 pagi, 22 Disember lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah 3C-02-04, Aparmen Jaya TTDI, di sini.

Mereka didakwa telah melarikan dua komputer riba jenama Acer, tiga unit jalur lebar, beg tangan yang mengandungi dokumen penting seperti lesen memandu dan kad pengenalan, buku simpanan bank dan juga telefon bimbit yang kesemuanya berharga RM3,700.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ibtisyami Yasin mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin.

Beliau yang menetapkan sebutan semula pada 7 Februari depan bagi lantikan peguam juga memerintahkan mereka untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Sementara itu, di mahkamah sama, seoramh penarik kereta, Mohd Kamarulzaki Abu Mansor mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang pelajar sekolah.

Mohd Kamarulzaki, 28, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 13 tahun enam bulan pada pukul antara 2 dan 9 pagi, sekitar November 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di nombor B1-27, Blok B, Aparmen Seri Teluki 3A, Bukit Sentosa, Hulu Langat, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa.

Kes akan disebut semula pada 7 Februari depan untuk lantikan peguam.

Artikel Berikut

Artikel Lain