suria

Ugut: Pekerja Bengkel Dipenjara Setahun

SHAH ALAM: Perbuatan seorang pekerja bengkel melibas-libas parang semasa mengamuk di rumah sewanya membawa padah selepas dia dihukum penjara selama setahun.

Majistret Norkamilah Aziz yang menerima pengakuan salah P. Shuntar, 24, pada Isnin, memerintahkan supaya hukuman bermula daripada tarikh tangkap, iaitu 29 November lalu.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Shuntar mengaku salah terhadap tuduhan melakukan ugutan jenayah dengan cara mengacukan parang sepanjang tiga kaki (0.91 meter) ke arah rakan serumahnya, Halery Tanuk.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 1.25 pagi, 29 November lalu di hadapan restoran Ameer Corner, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.

Fakta kes menyatakan, Halery, 26, yang merupakan seorang tukang wayar terjaga dari tidur apabila mendengar bunyi orang sedang mengamuk dan mendapati tertuduh sedang melibas-libaskan parang.

Halery yang bimbang dengan keselamatan dirinya melarikan diri ke arah restoran tersebut dan bertemu dengan sebuah kereta peronda polis yang secara kebetulan berada di situ.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pada usaha meringankan hukuman, tertuduh merayu mahkamah mempertimbangkan keadaannya yang menanggung keluarga.

“Saya berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian. Saya mohon mahkamah mempertimbangkan saya merupakan penanggung tunggal keluarga dan empat adik beradik saya masih bersekolah,” katanya.

Siti Syakimah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

“Perbuatan tertuduh telah menyebabkan berlaku kerosakan pada peralatan rumah. Tertuduh memang berniat untuk menakutkan mangsa selain senjata yang digunakan boleh menyebabkan kematian,” tambahnya.

Artikel Lain