suria

SUK: Muhammed Khusrin Mulakan Tugas, MB Selangor Menghadap Sultan

SHAH ALAM: Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Muhammed Khusrin Munawi memulakan tugasnya pada pukul 6.45 pagi Isnin dalam suasana tegang ekoran pelantiknnnya oleh kerajaan Pusat tanpa sebarang rundingan dengan Menteri Besar selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun spekulasi mengatakan bahawa hari pertama Muhammed Khusrin bekerja sebagai SUK juga merupakan hari terakhir baginya selepas Abdul Khalid mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Khalid dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Sharafuddin pada pukul 11 pagi.

Bernama melaporkan kenderaan rasmi Menteri Besar dilihat memasuki Istana Mestika pada pukul 10.50 pagi dan keluar kira-kira 12.20 tengah hari.

Pihak media yang berkumpul di hadapan pintu utama istana itu sejak jam 10 pagi hampa apabila tidak mendapat sebarang komen daripada Menteri Besar yang terus beredar dari situ.

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Abdul Khalid tidak berhenti walaupun dikerumuni oleh para wartawan dan jurugambar.

Difahamkan Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sementara itu Muhammed Khusrin dijangka akan mengeluarkan kenyataan media pada pukul 3 petang.

Artikel Lain