suria

Maklumat Tambahan Lewatkan Kertas Siasatan Diselesaikan - Miros

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kemalangan maut membabitkan bas dua tingkat di KM15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada 21 Disember lepas akan mengambil masa untuk disiapkan kerana perlu mengambil kira maklumat yang baru diterima.

"Dengan adanya isu-isu tambahan mengenai kemalangan itu menyukarkan kita untuk menyelesaikan kes itu dengan secepat mungkin yang sepatutnya siap dalam tempoh dua minggu," kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Profesor Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Beliau memberitahu Bernama, Isnin, pihaknya memerlukan maklumat lengkap daripada pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menganalisis kes itu dengan teliti.

Katanya kertas siasatan yang lengkap itu kemudian akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata Miros juga sedia bekerjasama dengan Badan Siasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan itu jika diperlukan.

Dalam kemalangan ngeri itu, 25 pelancong Thailand dan pemandu bas serta pemandu pelancong warga Malaysia terbunuh apabila bas itu terbabas dan terbalik ketika sedang menuruni dari pusat peranginan itu. - BERNAMA

Artikel Lain