suria

Krisis Pentadbiran Di Selangor Bakal Mencetuskan Kekeliruan Baru...

KERAJAAN Negeri Selangor kini dilanda krisis. Dan krisis ini muncul apabila Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat enggan menerima pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru atas arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pasukan Exco Kerajaan Negeri telah melakukan pelbagai cara termasuk menghadap Sultan Selangor dalam usaha mereka untuk menghalang Khusrin daripada memulakan tugasnya pada pagi Isnin, 3 Januari 2011.

Malah terdapat cakap-cakap yang mengatakan bahawa semua pintu masuk ke pejabat setiausaha kerajaan negeri yang terletak di tingkat 19 Bangunan SUK telah dikunci pada malam Ahad dalam usaha untuk menghalang Khusrin daripada memasuki pejabatnya pada hari pertama bekerja, Isnin 3 Januari.

Bagaimanapun, Khusrin yang tiba seawal jam 6.45 pagi berjaya meloloskan diri ke pejabat barunya itu tanpa ada sebarang masalah.

Kepada Khusrin, kenaikkan pangkat yang diperolehinya itu kini sudah pastinya bukan satu-satunya yang mahu beliau kenang dalam sejarah perkhidmatannya sebagai penjawat awam.

Beliau memulakan kariernya sebagai penjawat awam paling tinggi di Negeri Selangor dalam suasana penuh kontroversi - seolah-olah kehadirannya di rumah sendiri seperti tidak dialu-alukan.

Kesian Khusrin. Beliau hanyalah seorang penjawat awam yang menerima arahan dan perintah. Sebagai seorang "saya yang menurut perintah", beliau memiliki tanggungjawab besar untuk memulakan tugasnya sepertimana yang diarahkan menerusi surat perintah lapor tugas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).

Bagi lain-lain kakitangan awam, ia adalah satu arahan wajib yang perlu dilaksanakan. Dan bagi lain-lain kakitangan awam apatah lagi bagi mereka yang menerima pelantikan sepertimana Khusrin, ia adalah satu kenaikkan pangkat dan pelantikan yang paling tinggi yang boleh diharapkan oleh seorang penjawat awam negeri.

Jawatan tersebut bertaraf 'ahli Yang Berhormat' atau YB dan beliau adalah sebahagian daripada anggota Exco Kerajaan Negeri atas kapasitinya sebagai ex officio sama seperti ketua setiausaha negara (KSN) yang turut berfungsi sebagai setiausaha kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

Malangnya, oleh kerana pelantikannya tidak mendapat perkenan dan restu seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat, beliau kini 'diharamkan' daripada menghadiri mesyuarat mingguan exco pada setiap pagi Rabu dan semua mesyuarat negeri yang melibatkan akta rahsia rasmi.

Seperkara lagi yang menarik untuk dilihat ialah apakah benar menteri besar dan jemaah exco kerajaan negeri akan memboikot majlis ikrar taat setia yang bakal dilakukan di hadapan Sultan Selangor pada Khamis, 6 Januari nanti sebagaimana yang dilafazkannya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Ini kerana, tindakan berkenaan akan dilihat sebagai tidak menghormati majlis Sultan dan istana negeri apatah lagi pada hari berkenaan, penulis difahamkan akan turut berlangsung majlis penganugerahan darjah kebesaran negeri kepada Raja Muda, Tengku Amir Shah dan juga akan turut dilangsungkan majlis penyerahan watikah pelantikan Jaksa Pendamai di tempat dan waktu yang sama.

Mampukah dan bersediakah menteri besar dan anggota exconya memalingkan muka dan memboikot majlis rasmi istana pada 6 Januari nanti? Jika mereka berani dan sanggup berbuat demikian, mereka akan mencatat sejarah baru dalam peradaban dan tatasusila adat-adat Raja-Raja Melayu. Tetapi persoalan yang lebih penting sekarang ialah, antara sekarang sehingga krisis ini selesai, apakah bentuk arahan yang boleh dikeluarkan oleh Khusrin atas kapasitinya sebagai setiausaha kerajaan negeri kepada kakitangan awam negeri yang lain.

Bagaimanakah aliran arahan itu nanti akan dilaksanakan? Apakah kemungkinan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pejabat setiausaha kerajaan negeri akan dibatalkan oleh pejabat menteri besar dan exco?

Atau apakah kemungkinan akan berlaku dua arahan yang berasingan dan berlainan berkaitan hal yang sama daripada pejabat SUK?

Dalam urusan hariannya, kepada siapakah Khusrin perlu merujuk atau melaporkan jika menteri besar enggan menerima kehadirannya termasuk dalam mesyuarat mingguan exco.

Dan bagaimana pula arahan menteri besar akan diturunkan ke bawah jika setiausaha kerajaan negeri tidak dibenarkan menghadiri sebuah mesyuarat mingguan sepenting mesyuarat exco?

Memikir dan mengenangkan semua ini bukan sahaja bakal memeningkan kepala rakyat kebanyakkan seperti kita tetapi yang lebih kesian dan malang ialah seluruh kakitangan awam terpaksa menerima tempias ini.

Dan menurut Tan Sri Khalid Ibrahim, persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri Selangor akan menentukan bagaimanakah krisis ini boleh diselesaikan kerana kini mereka berhasrat untuk meminda undang-undang tuboh negeri yang memberikan peruntukkan kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri ke tangan pusat dikembalikan kepada kuasa negeri.

Untuk melakukannya mereka memerlukan majoriti dua pertiga. Untuk memperolehi majoriti dua pertiga, mereka memerlukan 37 undi menyokong. Mereka kini mempunyai 35 kerusi - kurang dua untuk mencapai majoriti dua pertiga.

Andai kata melalui cara ini juga mereka gagal, apakah langkah mereka seterusnya? Apakah mereka akan menerima kehadiran Khusrin dalam keadaan keterpaksaan?

Mengambil itu sebagai kesimpulan, krisis ini nampaknya tak akan selesai dalam tempoh yang singkat.

Artikel Lain