suria

Kontroversi PKR Padang Serai Ekoran Undi Tidak Percaya

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang sebelum ini mengkritik kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali lagi mencetuskan kontroversi melibatkan PKR Padang Serai yang diketuainya.

Ini kerana Gobalakrishnan dan Naib Pengerusinya, Johari Ismail masing-masing mendakwa telah mengadakan satu mesyuarat dengan ahli-ahli jawatankuasa pada masa sama.

Sambil mendakwa Gobalakrishnan berbohong, Johari berkata, dia telah bermesyuarat dengan 15 ahli jawatankuasa lain bagi mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk meluluskan undi tidak percaya terhadap Gobalakrishnan.

Namun, Gobalakrishnan mendakwa Johari tidak mempunyai korum secukupnya untuk mengadakan mesyuarat memandangkan beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat bahagian dengan 18 ahli jawatankuasa lain pada masa sama.

"Secara keseluruhannya, terdapat 15 ahli jawatankuasa yang dipilih dan lima pula dilantik selain pengerusi, timbalan pengerusi, naib pengerusi, setiausaha, bendahari dan ketua penerangan," kata Gobalakrishnan.

"Bagaimana 16 ahli jawatankuasa boleh bermesyuarat di sebuah hotel di Lunas dari 5 petang hingga 6.30 petang ketika saya mengadakan mesyuarat bahagian dengan 18 ahli jawatankuasa di pejabat bahagian di Padang Serai pada masa sama," soalnya lagi.

Sementara itu, apabila diberitahu apa yang telah dikatakan Gobalakrishnan, Johari mendakwa Ahli Parlimen Padang Serai itu berbohong.

Menurut Johari, selain ahli jawatankuasa, kira-kira 150 ahli termasuk anggota Majlis Perbandaran dan pemimpin komuniti menghadiri mesyuarat tersebut di Lunas.

Katanya, ahli jawatankuasa akan memaklumkan kepada pengerusi parti negeri dan setiausaha agung mengenai meyuarat itu dan tindakan susulan untuk mengadakan EGM dalam tempoh dua minggu.

Johari menambah, pihaknya juga akan mengeluarkan satu kenyataan untuk menjelaskan seramai 4,000 ahli tidak menyokong atau bersetuju dengan tindakan Gobalakrishnan.

"Apa saja yang dilakukannya (Gobalakrishnan) kini adalah untuk agenda peribadi dan tidak melibatkan parti bahagian," katanya yang menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Johari berkata mereka yang menghadiri mesyuarat itu turut menasihati Gobalakrishnan bahawa beliau sepatutnya meletakkan jawatan daripada parti itu sekiranya beliau tidak patuh kepada polisi atau kepimpinan Anwar.

"Itu antara tindakan logik untuk dilakukan dalam mana-mana organisasi," kata Johari.

Terdahulu, Gobalakrishnan mengeluarkan satu kenyataan media memberitahu beberapa pemimpin cuba menyingkirkannya daripada parti itu.

Artikel Lain