suria

Kerajaan Negeri Akan Adakan Sidang Tergempar DUN, Kata MB

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bercadang mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin.

Beliau berkata pindaan itu bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Ketika ditanya mengenai tarikh sidang tergempar itu akan diadakan, Menteri Besar berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim, Isnin.

Kerajaan Negeri juga perlu mendapatkan panduan sebelum mengadakan sidang tergempar DUN dan Speaker sedang melihat sama ada ia boleh diadakan atau tidak, kata Abdul Khalid.

Tambah beliau, keseluruhan proses untuk mengadakan sidang tergempar DUN itu memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Abdul Khalid berkata dalam pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi, baginda berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon bagi memegang jawatan eksekutif berkenaan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa pemilihan di bawah Kerajaan Persekutuan," katanya.

Tambahnya, beliau turut berbincang dengan baginda mengenai cadangan mengadakan sidang tergempar DUN bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Sidang tergempar itu, sekiranya diadakan, dijangka penuh dramatik kerana kerajaan negeri perlu meyakinkan ahli-ahli dari Barisan Nasional tentang keperluan untuk berbuat demikian.

Lebih memburukkan keadaan ialah Pakatan Rakyat kurang dua kerusi DUN untuk memperolehi majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk membuat sebarang keputusan.

Abdul Khalid hari ini menghadap Sultan Selangor di Istana Mestika di sini bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Abdul Khalid mendakwa semasa mengumumkan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Pelantikan Mohamad Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Pelantikan Mohamad Khusrin, 54, berkuat kuasa 1 Januari lepas bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang tamat kontrak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mohamad Khusrin, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Khamis ini.

Abdul Khalid berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah tuanku,kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.

Abdul Khalid berkata surat kepada SPA itu akan dihantar hari ini atau esok.

Menteri Besar itu berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Mohamad Khusrin Munawi (Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru) tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan hadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan Mohamad Khusrin sekiranya tetap diadakan Khamis ini seperti dijadual, Menteri Besar berkata: "Kita akan bincangkan dengan Exco".

Abdul Khalid berkata beliau masih belum lagi bertemu dengan Mohamad Khusrin dan menurutnya walaupun Mohamad Khusrin masih tidak boleh menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, banyak tugas lain yang perlu dilaksanakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Antaranya mengurus dan memantau perjalanan pejabat-pejabat daerah di Selangor, menyelesaikan masalah tanah dan menulis laporan bagaimana untuk menyelesaikan masalah kewujudan pusat-pusat spa dan kafe internet yang tidak berlesen, katanya.

Beliau berkata antara sebab Mohamad Khusrin tidak boleh menghadiri Majlis Mesyuarat Exco kerana perbincangan dalam mesyuarat itu adalah rahsia.

Ditanya sama ada usaha kerajaan negeri mengadakan sidang DUN tergempar itu akan mengukuhkan kuasa Raja-Raja, beliau berkata: "Sebenarnya kami sedang memperkasakan negeri. Saya fikir adalah amat penting memperkasakan negeri."

Artikel Lain