suria

Empat Warga Asing Diperintah Bela Diri Atas Tuduhan Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Isnin, memerintahkan empat warga asing membela diri atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas warga Pakistan Naseem Haider, 38, seorang warga India, Sunita, 29, serta dua warga Indonesia iaitu Surya Darma Putra, 40, dan Maharani, 29.

Ghazali menetapkan 22 dan 23 Februari depan untuk tertuduh membela diri.

Keempat-empat mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis heroin seberat 1,170.9 gram dan dadah jenis monoacetylmorphines seberat 198.35 gram di bilik bernombor 601, Lanson Place, Jalan Ampang Hilir, Cheras di sini pada 10.30 malam, 19 Jun 2009.

Ghazali berkata mahkamah berpuas hati kesemua tertuduh berada dalam bilik dan mempunyai pengawalan eksklusif ke atas dadah yang dijumpai berdasarkan keterangan beberapa saksi pendakwaan.

"Ini kerana tiada keterangan yang menunjukkan terdapat orang lain yang menginap di bilik tersebut kecuali keempat-empat tertuduh," katanya. Ghazali berkata beberapa saksi pendakwaan juga telah memberi keterangan bahawa dadah tersebut bukan ditemui di tempat yang tersorok sebaliknya ditemui di lantai di ruang tamu bilik berkenaan ketika serbuan dilakukan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt telah mengemukakan seramai 13 saksi sepanjang perbicaraan manakala pembelaan diwakili peguam Karpal Singh dan Afifudin Hafifi. - BERNAMA

Artikel Lain