suria

Empat Pelajar Nigeria Dan Seorang Wanita Filipina Ditahan Memiliki Syabu

SHAH ALAM: Polis menahan empat pelajar lelaki warga Nigeria dan seorang wanita rakyat Filipina dan merampas dadah jenis syabu seberat 921 gram di sebuah pusat hiburan di Subang Jaya, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata hasil maklumat awam, polis melakukan serbuan ke atas premis itu pukul 8.45 malam dan menemui dadah itu yang dianggarkan bernilai RM210,00.

Katanya keempat-empat lelaki itu merupakan pelajar dari dua buah kolej swasta di sini manakala wanita Filipina itu dipercayai teman kepada salah seorang pelajar berkenaan.

“Mereka yang ditahan berumur antara 26 hingga 32 tahun,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Dalam perkembangan lain, katanya, polis berjaya mematahkan cubaan dua lelaki warga Iran yang cuba menyeludup masuk dadah jenis syabu masing-masing seberat 885 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 3.30 petang semalam.

Tun Hisan berkata kedua-dua lelaki berusia 27 tahun itu ditahan kerana kelihatan mencurigakan sebelum pemeriksaan mendapati dadah berkenaan disorok dalam beg pakaian mereka.

Sabtu lepas, polis juga menahan seorang lelaki warga Iran berumur 27 tahun yang didapati cuba menyeludup dadah dipercayai syabu seberat 600 gram yang didapati disorok di dalam beg pakaiannya di KLIA. - BERNAMA

Artikel Lain