suria

Dua Warga Nigeria Didakwa Menculik Peniaga Maghribi

KUALA LUMPUR: Dua lelaki berasal dari Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bersama dua wanita tempatan atas tuduhan menculik seorang peniaga warga Maghribi dan mengambil wang tebusan bernilai RM450,000.

Mereka yang didakwa ialah Abbas Chidiebere Standy, 33, Nwosu Douglas Oluchi, 28, Yeap Tse Wei, 28, dan Alysa Marianna Mohamad Yusuf, 24 tahun.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.

Abbas dan Nwosu yang merupakan penuntut di pusat pengajian tinggi swasta didakwa menahan dan melarikan mangsa, Elmourabiti Smail dengan niat mahu mendapatkan wang tebusan pada pukul 2 petang, 11 Disember lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Bangunan Pan Global, Jalan P.Ramlee, Dang Wangi, di sini bersama tiga lagi rakan subahat yang masih bebas.

Yeap pula didakwa atas tuduhan menguruskan pengambilan wang tebusan RM100,000 di Apartmen Sri Sayang, Batu Feringgi, Pulau Pinang antara pukul 9 dan 9.30 malam, 16 Disember lalu.

Alysa yang merupakan ibu kepada seorang anak pula didakwa menguruskan pengeluaran wang tebusan RM350,000 di Bank CIMB, Jalan Solaris, Mont Kiara, di sini antara pukul 3 dan 3.30 petang, 15 Disember lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor D.R Ganthi Nathan mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961 (Akta 365).

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ganthi Nathan tidak menawarkan jaminan kepada Abbas dan Nwosu atas alasan kedua-dua tertuduh adalah warga negara asing manakala jaminan RM20,000 ditawarkan kepada dua Yeap dan Alysa.

Abbas dan Nwosu diwakili peguam M Tarma Ratnam.

Peguam Raja Kumar Raja Kandan yang mewakili Yeap yang merupakan seorang pereka grafik memohon supaya jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menanggung tiga adik yang masih bersekolah.

Alysa yang bekerja sebagai kerani akaun menerusi peguam Shamsul Sulaiman juga merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana perlu menyara anak berusia dua tahun.

Siti Shakirah selepas mempertimbangkan rayuan tersebut menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan syarat penjamin merupakan warga tempatan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 31 Januari ini.

Artikel Lain