suria

Resolusi Tahun Baru

KEPULAN ASAP... Walaupun dicegah, penyokong masih membawa masuk mercun dan bunga api ke dalam stadium semasa ribuan penyokong negara memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Suzuki bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 15 Disember lalu. - Foto BERNAMA
KEPULAN ASAP... Walaupun dicegah, penyokong masih membawa masuk mercun dan bunga api ke dalam stadium semasa ribuan penyokong negara memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Suzuki bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 15 Disember lalu. - Foto BERNAMA
KEPULAN ASAP... Walaupun dicegah, penyokong masih membawa masuk mercun dan bunga api ke dalam stadium semasa ribuan penyokong negara memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Suzuki bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 15 Disember lalu. - Foto BERNAMA

SETIAP tahun ada sahaja resolusi tahun baru yang kita buat tetapi sama ada kita benar-benar berpegang kepadanya adalah satu perkara lain.

Jika ditanya kepada penulis, apa yang penulis hajatkan bagi tahun baru ini, berikut adalah pilihan penulis:

* Ingin melihat kita lebih bertoleransi: Penulis dapati rakyat Malaysia masih tidak memiliki sikap toleransi ketika di jalan raya.

Baru-baru ini penulis ke Kluang, Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang staf.

Sepanjang perjalanan kereta penulis dihon beberapa kali dan ada sesetengahnya pula memberikan tanda isyarat lucah kepada penulis kerana memperlahankan kereta ketika sedang mencari arah ke tempat majlis itu diadakan.

Bukan penulis tidak memberi lampu isyarat terlebih dahulu tetapi pengguna jalan raya di Kluang nampaknya tidak begitu menunjukkan sikap toleransi yang tinggi.

Dalam satu insiden lain pula, penulis dapati apabila mereka tidak sabar, mereka memotong mengikut laluan sebelah kiri.

Jadi untuk tahun baru ni, banyak-banyaklah bersabar dan tunjukkanlah sikap toleransi yang tinggi kepada para pengguna jalan raya atau lebuh raya.

* Buangkan sikap buruk di stadium: Ketika ke perlawanan separuh akhir dan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini, penulis telah menyaksikan dua insiden yang patut kita kikis dalam diri kita.

Pertama perbuatan membaling botol air dan mercun ke arah padang. Dan kedua, perbuatan bodoh memancarkan cahaya laser ke arah mata pemain pasukan lawan.

Kita patut bersyukur kerana pasukan kita tidak dihukum dengan tindakan membatalkan permainan oleh pihak penganjur akibat perbuatan bodoh itu.

Sikap membaling mercun dan botol bukan sahaja berlaku dalam perlawanan tersebut tetapi juga berlaku pada banyak perlawanan yang lain.

Kita tidak pernah memikirkan apa akan terjadi seandainya benda yang dibaling itu terkena kepala anak-anak yang turut serta di dalam stadium.

Jadi cukuplah. Fikirlah sama keselamatan orang lain dan juga belajarlah menjadi penonton yang tahu adab dan bersopan.

Melonjaklah terkial-kial apabila pasukan kita menjaringkan gol kerana tidak ada siapa yang marah di atas manifestasi kegembiraan kita itu.

Tetapi buat apa kita meraikan kejayaan pasukan kita jika pada masa yang sama kita turut melukakan perasaan dan diri orang lain dengan perbuatan bodoh kita.

* Niat hendak buat baik tetapi berakhir dengan keburukan: Ini juga satu lagi sikap atau perbuatan yang sering penulis lihat ketika di masjid khususnya ketika menunaikan sembahyang Jumaat.

Kita harus bertanya pada diri kita sendiri, apakah tujuan kita berkunjung ke rumah ibadat. Niatnya ialah untuk berbuat ibadah kepada Tuhan.

Tetapi malangnya dalam proses kita melaksanakan ibadah kita itu kita tidak sedar kadang-kadang kita bersikap tidak sepatutnya.

Penulis pernah menyaksikan ada jemaah ketika hendak memasuki masjid, dia menolak semua kasut jemaah yang lain sehingga ada yang termasuk ke dalam longkang.

Tidakkah itu perbuatan yang sangat mementingkan diri? Tetapi pada masa yang sama kita ke rumah ibadat untuk beribadat. Jadi untuk tahun baru ni, buangkanlah sikap buruk itu.

* Bersyukur dengan apa yang ada: Kita jarang bersyukur kerana itulah kita lebih banyak bersungut.

Penulis selalu mengingatkan anak-anak agar bersyukur dengan apa yang ada kerana untuk setiap apa yang kita ada, beribu malah mungkin berjuta yang lain tidak dapat menikmati apa yang selama ini kita nikmati.

Apatah lagi di negara kita, Tuhan telah berkati dengan tiadanya gempa bumi, letusan gunung berapi, taufan, puting beliung dan wabak yang berpanjangan, kemarau panjang, pertelingkahan antara kaum dan juga penjarahan. Jadi belajarlah bersyukur.

* Kurang mengata tetapi lihat kepada persamaan: Inilah yang kita harapkan dari semua lapisan masyarakat dan juga kaum.

Kita kurangkan pertelingkahan dan saling kata mengata tetapi sebaliknya kita tengok titik pertemuan dan persamaan yang boleh kita rai kan bersama.

Nescaya, negara kita akan lebih makmur dan terhindar daripada sebarang anasir jahat.

* Buang sikap mencerca dan mengata orang: Kita seorang yang berpegang kuat kepada ajaran agama tetapi pada masa yang sama kita juga kuat bermusuhan dengan orang.

Penulis mengenali seorang manusia yang sembahyang tidak tinggal lima waktu siang dan malam tetapi dia asyik mengata dan mengutuk suaminya dalam laman sosial facebook.

Pada masa yang sama, penulis juga dapati, ramai pemimpin dari parti politik yang berteraskan agama tetapi dalam ceramahnya sering mencerca dan mengaibkan orang lain malah mengajak dan mengajar orang ramai yang mendengar ceramahnya supaya mentertawakan orang lain.

Kata hendak menegakkan ajaran agama tetapi apakah ini yang disuruh oleh agama? Hendak mengajar dan menegur ada seribu cara lain yang boleh dilakukan tetapi mengapakah memilih cara ini?

* Kawal diri dan rasa marah: Satu perkara yang memedihkan hati ialah apabila kita membaca betapa orang suka melepaskan geram dan amarah melalui blog.

Ini terjadi mungkin kerana kita semua boleh menyembunyikan identiti diri melalui blog. Kita boleh tulis apa sahaja tanpa orang mengetahui siapakah kita.

Sebenarnya ini adalah satu amalan yang tidak baik. Mungkin kita semua terlalu banyak makan kari sebab itulah badan kita cepat panas dan baran.

Penulis sendiri seorang yang panas baran dan resolusi tahun baru penulis ialah untuk kawal diri dan rasa marah dari sebarang ancaman provokasi atau tindak-tanduk orang lain yang boleh mencetuskan kemarahan diri.

* Tidak perlu bayar wang untuk mengukirkan senyuman: Itulah resolusi terbaik tahun ini...

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain