suria

Rantau Panjang Dan Kota Baharu Diberi Keutamaan Atasi Banjir - Mustapa

RANTAU PANJANG: Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keutamaan membina tebatan banjir di negeri itu akan diberi kepada Kota Baharu dan Rantau Panjang yang sering terjejas teruk akibat bencana tersebut.

Beliau berkata bagaimanapun pelaksanaan projek tersebut memerlukan perancangan rapi kerana kos membina tebatan di Sungai Kelantan dan Sungai Golok itu adalah sangat tinggi.

"Kosnya pada lima tahun lalu sekitar RM2 bilion dan jika kerajaan mahu membina tebatan itu ia mungkin tidak dilakukan secara sekali gus," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini Ahad.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata perancangan membina tebatan tersebut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos yang lebih rendah.

Mengulas keadaan banjir kali ini, Mustapa berkata beliau berpuas hati dengan bantuan yang diberi oleh pihak terbabit. Seramai 409 mangsa banjir telah ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara sejak pagi ini di jajahan ini, dengan sebahagian besarnya ditempatkan di stesen KTMB itu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Kelantan Roslee Mamat berkata pihaknya menjangka banjir akan melanda daerah Tumpat dalam masa terdekat berikutan limpahan air Sungai Golok yang kini melepasi paras bahaya.

"Kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir di Tumpat, dan langkah-langkah lain sudah diatur untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan kita jangka mungkin tidak besar kerana cuaca yang semakin baik," katanya.

Beliau juga menjangka bencana banjir di negeri itu tidak seteruk seperti tahun sebelumnya berikutan keadaan cuaca yang diramal terus baik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain