suria

PLKN Perkenal Modul Kesihatan Reproduktif Dan Sosial Mei Ini

KUALA LUMPUR: Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula Mei ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata modul baru itu bertujuan membina kekuatan minda remaja dalam pembangunan insan yang sihat, berakhlak mulia dan saling hormat menghormati antara satu sama lain, katanya.

"Ini bukan modul pendidikan seks...malahan ianya adalah modul untuk mendedahkan para pelatih dengan permasalahan-permasalahan yang berlaku di kalangan masyarakat terutamanya yang melibatkan remaja," katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Zahid sebelum itu beramah mesra dengan 1,200 pelatih PLKN iaitu kumpulan pertama siri 8/2011 di Padang Bangunan Zetro, Wangsa Maju di sini, sebelum mereka bertolak ke kem PLKN di Perak, Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Zahid berkata modul itu kini dirangka Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dengan mengambil kira keperluan dan sensitiviti kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam masyarakat majmuk berdasarkan konsep 1Malaysia.

"JLKN juga perlu kaji supaya pelaksanaannya nanti tidak bertindih dengan kandungan modul sedia ada, serta mengkaji semula Modul Integrasi, Modul Penyalahgunaan Dadah oleh AADK dan modul-modul lain yang sedang dilaksanakan pada masa ini untuk disesuaikan dengan PKRS," katanya.

Beliau berkata modul itu juga akan mendedahkan pelatih kepada perkara-perkara baru yang tidak diajar di sekolah, dan ia merupakan kokurikulum yang bersesuaian dengan kehendak semasa.

Sementara itu, Zahid berkata seramai 3,000 remaja telah memohon untuk menyertai PLKN secara sukarela.

"Kesemua penyertaan pemohon kita terima dan dalam masa dua minggu ini kita akan tentukan sama ada mereka akan memasuki kumpulan pertama, kedua atau ketiga," katanya.

Zahid berkata peningkatan jumlah pemohon yang ingin menyertai program itu merupakan perkembangan yang baik berbanding pada peringkat awal yang menyaksikan ramai ibu bapa memohon supaya penyertaan anak-anak mereka ditangguhkan atau dibatalkan.

Seramai 140,000 pelatih PLKN Siri 8/2011 dari seluruh negara akan menyertai program itu di 79 kem PLKN di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain