suria

Pameran Kejayaan Negara Julang Piala AFF Suzuki Di Muzium Negara

LANGKAWI: Peminat-peminat bola sepak di seluruh tanahair berpeluang melihat detik-detik bersejarah kemenangan pasukan Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki pada 28 Disember lalu melalui pameran yang akan diadakan di Muzium Negara Kuala Lumpur tiga minggu lagi.

Ketua Pengarah Muzium Negara, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran tersebut diadakan sebagai tanda pengiktirafan pihaknya terhadap kejayaan yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia selama 14 tahun.

"Dalam masa tiga minggu lagi kita akan adakan pameran bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat koleksi gambar-gambar dan wajah-wajah riang pemain bola sepak yang telah beraksi di Piala Suzuki baru-baru ini.

"Melalui pameran itu pengunjung juga dapat mengetahui tentang sejarah dan kronologi pasukan bola sepak kita dalam usaha mencipta kejayaan," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Sebelum itu beliau ke Galeria Perdana untuk Program Bersama Media dan Pengusaha Pelancongan Langkawi.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Langkawi Datuk Abu Bakar Taib.

Menurut Ibrahim langkah dan keputusan tersebut dibuat adalah selaras dengan hasrat Jabatan Muzium Malaysia yang ingin menjadikan aktiviti melawat muzium sebagai satu budaya dalam masyarakat hari ini.

Katanya, pameran yang bakal diadakan di perkarangan Muzium Negara itu juga menunjukkan pihak muzium sentiasa mengikuti perkembangan semasa termasuklah bidang sukan.

"Kita juga berharap pameran ini akan menyemarakkan semangat pasukan bolasepak dan atlit lain untuk lebih berjaya pada masa akan datang," katanya.

Antara yang akan dipamerkan termasuklah keratan-keratan akhbar, koleksi-koleksi gambar dan tayangan video perlawanan yang melibatkan pasukan Harimau Muda.

Selain merakamkan detik gemilang pasukan bola sepak negara, pihak muzium juga bercadang untuk melakukan pameran seumpama itu untuk kejayaan-kejayaan atlit negara yang lain.

"Kita peka kepada hal-hal sebegini. Kita juga berhasrat untuk membuat pameran koleksi jaguh-jaguh sukan lain seperti Datuk Nicole David, Datuk Lee Chong Wei dan sebagainya," katanya.

Mengulas tentang Galeria Perdana yang diambil alih oleh Jabatan Muzium Malaysia sejak 1 Januari 2008, Ibrahim berkata pengunjung ke galeri tersebut meningkat sebanyak 10,000 pengunjung pada tahun ini berbanding tahun 2009.

Katanya, pihak muzium akan sentiasa berusaha menjalankan penambahbaikan dalam menarik lebih ramai pengunjung ke Galeria Perdana.

"Pada tahun 2011, kita yakin dapat menarik seramai 150,000 pengunjung berbanding 120,000 pengunjung pada tahun ini," katanya.

Galeria Perdana yang dibuka kepada umum pada 1996 menghimpunkan sebanyak 9,155 koleksi hadiah yang diterima Tun Mahathir sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain