suria

MCA Selangor Mahu Kumpul Nama Rakyat Sokong 1Malaysia, Serah Kepada Kerajaan Negeri

KLANG: MCA Selangor akan membangunkan laman web khas 1Malaysia bagi memastikan rakyat negeri itu memahami dan menyokong gagasan tersebut yang logonya kini dilarang dipamerkan di negeri tersebut.

Pengerusinya Datuk Donald Lim Siang Chai berkata laman web itu juga bertujuan mengumpulkan nama penduduk Selangor yang menyokong gagasan 1Malaysia untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri.

"Kami menentang pengharaman itu dan mahu lebih ramai rakyat, khususnya penduduk di Selangor memahami konsep sebenar 1Malaysia dan melawat laman web ini sebagai tanda sokongan kepada logo tersebut yang bertujuan menggalakkan perpaduan," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Beliau berkata laman web itu akan dibangunkan oleh Pemuda MCA Selangor dalam tempoh 48 jam.

Kerajaan Selangor yang diteraju pakatan pembangkang baru-baru ini bertindak melaksanakan pengharaman logo 1Malaysia pada semua papan tanda dan papan iklan di negeri itu kerana didakwa menyelitkan mesej politik Barisan Nasional.

Bagaimanapun pelaksanaan itu ditangguhkan buat sementara sehingga mesyuarat Exco pada Rabu ini.

Lim yang juga Naib Presiden MCA mendesak kerajaan Selangor memohon maaf kerana mengenakan larangan tersebut yang disifatkannya sebagai berasaskan pemikiran sempit.

Beliau sebelum itu menyertai konvoi kereta dan motosikal yang dianjurkan MCA Serdang, Klang dan Kapar sebagai tanda sokongan 1Malaysia. Sebanyak 2,000 pelekat 1Malaysia turut diagihkan semasa konvoi tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain