suria

Kerajaan Selangor Ada 'Tujuan Politik' Bantah Pelantikan SUK Baru

BAGAN DATOH: Kerajaan negeri Selangor yang diterajui kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mungkin mempunyai niat dan tujuan politik dengan membantah pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi yang mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan Mohd Khusrin itu menunjukkan kepimpinan PKR di Selangor mengalami 'krisis minda' dan enggan menerima hakikat pelantikan yang dibuat Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Rakyat perlu menilai kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang tidak konsisten kerana keterlaluan mempolitikkan jawatan sehingga sanggup membelakangkan perlembagaan negeri," kata Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh kepada pemberita selepas menutup program Pembangunan Jati Diri yang melibatkan 230 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perak di sini, Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata pelantikan SUK Negeri tertakluk di bawah bidang kuasa KSN yang tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK Negeri mencetuskan kontroversi apabila sekretariat akhbar Menteri Besar Selangor mengeluarkan kenyataan pada 27 Disember lepas, yang menganggap pelantikan itu belum muktamad, sedangkan ia telah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Alasan yang diberikan dalam kenyataan itu ialah pelantikan tersebut tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut berhasrat menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembahkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun hasrat Abdul Khalid itu terpaksa ditunda kerana baginda sedang bercuti dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani juga mengesahkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, pelantikan SUK Negeri tidak perlu mendapat persetujuan Menteri Besar.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain