suria

Lima Remaja Ditahan Dalam Ops Samseng Jalanan Di Ambang Tahun Baru

ALOR SETAR: Polis menahan lima remaja dalam Ops Samseng Jalanan di Ambang Tahun Baru kerana disyaki terlibat dalam kegiatan merempit di sekitar bandar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata operasi itu dilakukan dari Tandop menghala ke Jalan Lencongan Barat dekat sini kira-kira 4 pagi.

"Hasil siasatan mendapati empat motosikal yang digunakan adalah motosikal curi dan mereka telah mengubah suai bentuk motosikal tersebut. Walau bagaimanapun, ujian air kencing menunjukkan mereka bebas dari pengaruh dadah," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata polis mengejar remaja berkenaan selepas melakukan pemerhatian ke atas kumpulan yang sedang berlumba itu dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menahan mereka.

Adzaman berkata semua suspek yang sudah tidak bersekolah itu telah ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengankutan Jalan.

Dalam operasi itu, sebanyak 109 motosikal dan empat kereta disita manakala 208 saman dikeluarkan.

Sementara itu, di SEREMBAN, hasrat sekumpulan remaja untuk melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam tidak kesampaian selepas tindakan mereka menggunakan lebuh raya sebagai litar dapat dihidu polis.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusuf berkata kumpulan Mat Rempit berkenaan terkejut dengan kehadiran polis di lebuh raya berkenaan kerana tidak menyangka operasi akan dilakukan di kawasan itu.

"Kedua-dua arah lebuh raya itu kita tunggu sejak dari 1 pagi hingga tengah hari tadi, dan hasilnya 320 motosikal diperiksa," katanya ketika ditemui di pusat rehat dan rawat Seremban arah ke selatan, Sabtu.

Beliau berkata dalam operasi itu, sejumlah 37 motosikal disita kerana kesalahan cukai jalan tamat tempoh, menunggang tanpa lesen dan mengubah suai ekzos serta enjin.

Selain itu, sebanyak 166 saman dikeluarkan polis manakala Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar yang turut menyertai operasi itu masing-masing mengeluarkan 15 dan empat saman.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain