suria

Kedatangan 2011 Dirai Penuh Meriah Di Pusat Bandar Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Kedatangan tahun baru 2011 diraikan penuh meriah oleh rakyat berbilang kaum terutamanya di majlis-majlis ambang tahun baru yang dianjurkan di seluruh negara.

Pada detik tengah malam bandar-bandar utama negara termasuk ibukota Kuala Lumpur digegarkan dengan dentuman bunga api di beberapa lokasi acara sambutan, menjadikan langit cerah dihiasi cahaya memukau yang berwarna warni.

Pengguna jalan raya di pusat bandar terutamanya, memberhentikan kenderaan seketika bagi menghayati keindahan percikan bunga api yang menampilkan pelbagai keunikan dari segi gaya persembahan.

Pelbagai pihak turut menganjurkan persembahan konsert yang menampilkan artis-artis popular tanah air bagi memeriahkan "countdown" tahun baru.

Di KUALA LUMPUR, lebih 70,000 orang membanjiri Dataran Merdeka, di mana kebanyakan ibu bapa yang membawa anak-anak mereka dan golongan muda sudah mula berhimpun di dataran itu seawal pukul 6 petang lagi untuk mengikuti persembahan yang disediakan di konsert anjuran Kumpulan AmBank.

Artis-artis popular di konsert kali keenam anjuran bank tersohor itu termasuk Mizz Nina, Amy Search, Daniel Lee, Datuk David Arumugam, Ramlah Ram, Pop Shuvit dan juga Ernie.

Acara sambutan itu turut dihadiri Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup, dan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim, yang turut menympaikan empat buah lagu, dan acara itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV2.

Beberapa pengunjung sempat ditemui Bernama ketika sambutan tahun baru tersebut, antaranya seorang anggota polis Mohd Saifuddin Abdullah, 52, yang berharap tahun baru akan membawa banyak peningkatan dari segi tahap kehidupan rakyat terutamanya prasarana dan kemudahan awam.

"Untuk tahun baru sebagai pasukan keselamatan, saya berharap negara akan dapat mencapai jenayah sifar untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat, tiada apa-apa yang akan mengancam negara, dan saya harap dalam masyarakat majmuk ini kita hidup aman damai," katanya yang saban tahun mengunjungi Dataran Merdeka untuk sambutan tahun baru.

Bagi warga Sarajevo, Bosnia Nermina Serhatlic, 20, yang kini mengikuti pengajian di salah sebuah universiti tempatan menyifatkan sambutan tahun baru di Malaysia sebagai satu pengalaman yang unik.

"Ini kali pertama saya menyambut tahun baru di luar negara, ia amat unik, pelbagai kaum duduk dan berhibur bersama," katanya yang sudah berada di Malaysia selama empat bulan.

Di Taman KLCC pula kira-kira 40,000 pengunjung terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing membanjiri taman awam di kawasan pusat beli belah Suria KLCC itu seawal pukul 5 petang lagi.

Pengunjung disajikan dengan persembahan memukau "symphony fountain show", tarian zapin, gendang Cina dan juga tarian Bhangra sebelum percikan bunga api memenuhi langit tepat pukul 12 tengah malam.

Sementara itu, kawasan Jalan Bukit Bintang pula meriah dengan konsert 'Going Gaga 2011' yang dijayakan oleh artis-artis tempatan dan asing di perkarangan pusat beli-belah Pavilion.

Kira-kira 25,000 orang rakyat tempatan dan pelancong asing membanjiri kawasan sekitar Jalan Bukit Bintang di persimpangan lampu isyarat di hadapan Bangunan Yayasan Selangor yang ditutup kepada semua kenderaan sejak awal pagi tadi.

Di SHAH ALAM, kira-kira 80,000 warga bandaraya itu berkumpul di i-City di Seksyen 7 di sini bagi menyambut ketibaan 2011.

Para pengunjung dengan disertai Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama-sama menanti ketibaan detik 12 tengah malam dan melakukan kiraan 'countdown' ke tahun baru.

Sebaik tiba masanya ruang angkasa Shah Alam bertukar menjadi terang benderang bermandikan cahaya berwarna-warni hasil pertunjukan bunga api yang berlangsung kira-kira lima minit.

Sementara itu di Genting Highlands, kira-kira 80,000 pengunjung membanjiri kawasan pusat peranginan itu bagi meraikan ketibaan tahun baru.

Walaupun pertunjukan bunga api tidak dapat diadakan ekoran keadaan cuaca yang buruk, para pengunjung tetap dihiburkan dengan pelbagai persembahan hiburan oleh beberapa artis terkemuka.

Sementara itu di Indonesia, pewarta Bernama di Jakarta melaporkan orang ramai sudah mula berkumpul di beberapa tempat tumpuan sambutan tahun baru sejak petang lagi, bagi meraikan kedatangan 2011 tengah malam ini, dengan pelbagai acara tahunan seperti tembakan bunga api dan konsert hiburan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan ditumpukan di kawasan pelancongan Ancol, Jakarta Utara, yang turut dihadiri Gabernor Jakarta, Fauzi Bowo dan para pemimpin negeri.

Ada lapan lokasi sambutan di kompleks Ancol, iaitu Pantai Carnaval, Gong Carnaval, Beach Pool, Putri Duyung, Danau Ancol, Pantai Festival, Pantai Indah, dan Ecopark menjadi tumpuan ramai, dan malam malam ini pihak berkuasa menganggar sekitar 280,000 orang membanjiri kawasan itu bagi acara ambang tahun baru.

Selain Ancol, warga kota juga bertumpu di dua lokasi pelancongan lain iaitu Monas (monumen nasional) di tengah-tengah Medan Merdeka, Jakarta Pusat, selain Taman Mini Indonesia Indah di Jakarta Timur.

Sementara para penjaja, lampu-lampu mainan dan penjaja makanan berada di tempat-tempat sambutan itu sejak tengah hari ini lagi.

Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap gangguan keselamatan dan lalulintas Ketua Polis Metro Jaya, Jakarta, Inspektor General Sutarman berkata pihaknya mengerah kira-kira 9,000 anggota polis di pusat-pusat perayaan, termasuk hotel, tempat hiburan dan gereja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain