suria

Jabatan Imigresen Johor Tahan 65 Pendatang Menerusi Ops Sapu

JOHOR BAHARU: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor menahan 65 pendatang asing tanpa izin rakyat Kemboja menerusi "Ops Sapu" di Kampung Mulia, Sungai Tiram, di sini, awal Sabtu.

Timbalan Penolong Pengarah II Jabatan Imigresen Johor Amzari Abdul Jalil berkata serbuan, yang bermula pukul 2.30 pagi dan berakhir dua jam kemudian, dilakukan 80 anggota penguatkuasa hasil intipan sejak dua minggu lepas.

"Kesemua 65 rakyat Kemboja itu terdiri daripada 13 lelaki, 37 wanita dan 15 kanak-kanak yang kesemuanya berumur tiga bulan hingga 45 tahun," katanya di sini, Sabtu.

Amzari berkata kebanyakan pendatang asing tanpa izin itu sedang tidur ketika serbuan dilakukan dan ada di antara mereka cuba meloloskan diri dengan menyorok di kebun getah berhampiran.

Beliau berkata kesemua yang ditahan mendakwa mempunyai sepucuk surat kebenaran yang dianggap sebagai pasport untuk bekerja dan tinggal secara sah di negara ini.

"Mereka menunjukkan pasport yang didakwa itu iaitu sekeping kertas tertera cop dan tandatangan rasmi Setiausaha Jawatankuasa Khas Penyelesaian Masyarakat Kemboja kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Parlimen Pekan, Pahang," katanya.

Katanya Jabatan Imigresen percaya terdapat sindiket mendalangi penipuan ke atas kesemua pendatang asing tanpa izin terbabit dan siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan.

Kesemua rakyat Kemboja itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain