suria

Bayi KL Sentral Bakal Dapat Kasih Sayang Baru

SEREMBAN: Qurratnaini Amni Jamaludin, 20, yang mendapat anak "segera" nekad untuk membela bayi yang diserahkan kepadanya secara tiba-tiba di Stesen KL Sentral semalam selepas mendapat persetujuan ibu bapanya.

Bapa gadis itu yang merupakan anggota bomba dari balai Teluk Kemang, Jamaludin Latif, 50, sudah memikirkan perkara itu semasak-masaknya walaupun beliau sudah mempunyai enam orang anak dan yang paling kecil berusia lima tahun.

"Saya, isteri dan anak-anak yang lain telah jatuh kasih dengan bayi tersebut. Hati mana yang tidak tersentuh apabila melihat senyuman anak yang tidak berdosa ini. Ia serasi dengan kami, menangis hanya apabila lapar sahaja," katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Hospital Seremban, Sabtu.

Bayi berusia seminggu itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kelaparan dan kekurangan glukos semalam.

Jamaludin berkata beliau akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat minggu depan bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas bayi itu.

Qurratnaini Amni pula berkata beliau telah memberi nama kepada bayi lelaki itu iaitu Mohd Aqil Fauzy yang bermaksud "Yang Terpuji Akal Kejayaan".

Pelajar sebuah kolej kejururawatan di Kota Damansara, Selangor itu berkata sebelum ini beliau sering didedahkan dengan cerita-cerita pembuangan bayi di akhbar tetapi tidak pernah terfikir akan terlibat secara langsung dalam isu ini.

"Kalau tidak ada orang ambil bayi ini, saya nekad untuk jaga. Sedih rasanya apabila melihat bayi ini diletakkan sebagai gelaran "Unknown" pada katil bayi itu, saya beri bayi ini nama dan saya serta keluarga mahu mendidik dan menyayangi bayi ini," katanya.

Qurratnaini Amni mendapat bayi itu di KL Sentral selepas seorang wanita Melayu tiba-tiba menyerahkan bayi malang tersebut untuk dijaga sebentar dengan alasan mahu ke tandas.

Wanita tersebut bagaimanapun terus menghilangkan diri menyebabkan Qurratnaini Amni menghubungi keluarganya dan membawa bayi itu pulang ke rumahnya di pekan Rantau.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain