suria

Terus Amal Perpaduan, Hormat-Menghormati Bersesuaian Dengan Semangat 1Malaysia - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa rakyat Malaysia agar terus mengamalkan perpaduan, sikap hormat-menghormati sesama sendiri dan mengukuhkan kerjasama bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.

"Kita harus berbangga kerana keistimewaan Malaysia yang berupaya mengekalkan serta mengukuhkan kemerdekaan dan keharmonian di kalangan penduduk pelbagai agama, bangsa dan budaya.

"Sementelahan kita melangkah ke dekad baru 2011, saya berharap kita akan terus menjaga keamanan yang kita nikmati selama ini. Saya percaya semua rakyat Malaysia tahu bahawa kestabilan politik negara ini telah memungkinkan kita merasai kemewahan dan kekayaan di bumi bertuah ini. Oleh itu, kekalkanlah ia," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2011 di sini.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam menjayakan program-program yang diatur untuk kemajuan negara.

"Teruskanlah usaha agar impian kita untuk mencapai taraf negara maju pada 2020 menjadi nyata.

"Marilah kita bersama-sama menuju 2011 dengan tekad menyumbang yang terbaik untuk tanah air kita, Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain