suria

Suasana Sedih Iringi Keberangkatan Yang Dipertua Negeri Sabah Dari Istana Negeri

KOTA KINABALU: Suasana sedih menyelubungi Istana Negeri Sabah di sini apabila Tun Ahmadshah Abdullah berangkat meninggalkan kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri, selepas lapan tahun mendiami istana berkenaan.

Pada majlis Istiadat Selamat Berangkat yang diadakan sempena tamat perkhidmatan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Kesembilan selama dua penggal, ada hadirin termasuk petugas istana, dilihat menitiskan air mata.

"Tun (Ahmadshah) dan isterinya (Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar) mempunyai sifat rendah diri. Semua petugas istana senang bekerja untuk mereka," kata Pengelola Urusan Istana Negeri Dayang Mariah Pengiran Abdul Razak kepada Bernama ketika ditemui sebelum istiadat itu.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, timbalan ketua menteri, menteri kabinet, ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, serta wakil rakyat.

Konsul Besar Indonesia Soepeno Sahid dan Konsul Besar Jepun Kazuyoshi Yamaguchi turut hadir bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Ahmadshah, 64, yang mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah pada 1 Jan 2003, menggantikan Tun Sakaran Dandai.

Tempat beliau akan diisi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Juhar Mahiruddin, 57, dan pelantikannya berkuat kuasa esok. - BERNAMA

Artikel Lain