suria

Selepas Kemaman, Dungun Pula Dilanda Banjir

KEMAMAN: Selepas Kampung Teladas, Kemaman dilanda banjir semalam, beberapa rumah di Kampung Cacar, Paka Dungun pula dinaiki air ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam, menyebabkan tujuh keluarga terpaksa dipindahkan petang ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata kesemua 53 mangsa daripada tujuh keluarga itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Cacar sementara menanti air surut.

"Kampung berkenaan memang sering dinaiki air apabila hujan lebat kerana terletak di kawasan yang agak rendah," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman mendapati masih terdapat 20 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Balai Raya kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kampung Teladas Razali Mohamad berkata kesemua mangsa tidak pulang ke rumah mereka kerana bimbang akan dinaiki air sekali lagi berikutan hujan yang belum berhenti.

Semalam, 63 mangsa daripada 22 keluarga di kampung itu terpaksa dipindahkan setelah Sungai Kemaman yang terletak di kawasan berdekatan dinaiki air hampir 15 meter pada 11 malam.

Penduduk terputus hubungan buat sementara apabila Jambatan Teladas yang menjadi laluan utama ke Bandar Chukai, turut ditenggelami air.

Bagaimanapun, keadaan air sungai itu kembali surut dan dilaporkan berada pada paras sembilan meter petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Abdullah Mohamad berkata 24 anggota dan pegawainya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, berikutan keadaan hujan yang belum reda.

"Jika keadaan hujan ini berterusan, kita menjangkakan banjir akan sekali lagi melanda kampung ini dan tiga lagi kampung lain, yang terletak di kawasan Jalan Air Putih, di Batu 14 dan 16, Kampung Dadung serta Padang Kubu," katanya.

Beliau berkata pihaknya bersiap-sedia dengan sebuah bot gentian kaca yang dibantu dua bot milik Jawatankuasa Kampung Teladas untuk memindahkan mangsa banjir. - BERNAMA

Artikel Lain