suria

Radin Umar Dilantik Naib Canselor UPM

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Radin Umar
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Radin Umar
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Radin Umar

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Radin Umar dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa esok hingga 31 Disember 2013.

Beliau menggantikan Prof Tan Sri Dr Nik Mustapha R.Abdullah yang tamat tempoh pelantikan hari ini.

Dr Radin, 50, sebelum ini adalah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi dan pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hubungan Antarabangsa UPM dari tahun 2005 hingga 2006, menurut kenyataan UPM hari ini.

Dr Radin berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Keselamatan Trafik dari Birmingham University, United Kingdom dan pernah menjawat Ketua Pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Pada 2005, beliau menerima anugerah The Prince Michael International Road Safety Award yang mengiktiraf sumbangan dan inovasi beliau dalam kemajuan jalan raya.

Sementara itu, Prof Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, 47, pula dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM bagi tempoh yang sama menggantikan Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh yang tamat tempoh pelantikan.

Profesor Mohd Saleh pernah dilantik sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan pada Oktober 2007, serta bergiat aktif dalam bidang penyelidikan Kejuruteraan Awam sejak berkhidmat di UPM bermula 1988. - BERNAMA

Artikel Lain