suria

Polis Minta Keluarga Dakwa Didera Buat Laporan

SEREMBAN: Polis meminta sepasang suami isteri yang mendakwa didera majikan mereka supaya membuat laporan dan tampil membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, ACP Hamdan Majid, berkata setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan sebagaimana dakwaan mereka.

"Jika benar dakwaan mereka itu, kenapa perlu bersembunyi atau takut untuk tampil," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar pada 25 Disember lepas bahawa polis tidak mengambil tindakan berhubung aduan yang kononnya telah dibuat di beberapa balai polis di Jempol oleh keluarga itu.

Menurut laporan akhbar itu keluarga berkenaan mendakwa telah didera majikan dan dipaksa bekerja tanpa gaji di sebuah ladang dekat Bahau, manakala anak-anak mereka berusia empat hingga 10 tahun turut didera dengan rotan.

Keluarga itu juga mendakwa telah dikurung dan kediaman mereka dikawal rapi termasuk oleh beberapa ekor anjing. Mereka juga mendakwa telah membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap majikan berkenaan.

Hamdan berkata selain polis, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menjalankan siasatan dan mereka juga tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan keluarga itu. "Hasil siasatan, difahamkan keluarga itu telahpun melarikan diri daripada majikan sejak 24 Oktober lepas dan sejak itu tidak diketahui di mana mereka pergi.

"Suami yang mendakwa itu menghidap sawan manakala isterinya ada asma dan sebab itulah majikannya memberikan kerja ringan.

"Malahan majikannya memaklumkan masih menyimpan gaji mereka sebanyak RM800 yang akan diserahkan kepada keluarga itu jika dia kembali semula.

"Kita dapati majikannya mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mereka. Tiada yang mencurigakan ke atas majikan berkenaan, malahan pekerja lain yang ditemui juga menafikan berlaku penderaan seperti yang dilaporkan," kata Hamdan.

L.Ganis, 36, seorang kontrakor yang menguruskan sebuah ladang getah yang juga majikan kepada suami isteri itu, ketika menafikan dakwaan keluarga berkenaan, berkata mereka bukannya dikurung sebaliknya dibenarkan menumpang rumah beliau kerana pasangan itu mengalami masalah kesihatan.

Malah, katanya, beliau turut membantu persekolahan anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia tujuh tahun dan membayar tambang basnya setiap bulan. -BERNAMA

Artikel Lain