suria

Peniaga Cedera Bergelut Dengan Perompak

REMBAU: Seorang peniaga cedera selepas bergelut dengan sekumpulan perompak yang memasuki rumahnya di Kampung Pedas Hilir dekat sini awal pagi Khamis.

Enam perompak bersenjatakan parang itu dipercayai masuk ke rumah berkenaan dengan mengumpil pintu belakang, dan selepas mengikat semua penghuni, mereka melarikan wang tunai, barangan kemas, komputer riba dan telefon bimbit, yang semuanya bernilai kira-kira RM40,000.

Abdul Razak Ahmad, 56, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3 pagi apabila beliau tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi bising, dan apabila beliau membawa senapang patahnya untuk menyiasat, belia diserang tiga perompak.

Dalam pergelutan itu beliau mengalami kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam di bahagian kepala, muka, serta tangan kanan, dan menurutnya beliau turut mengalami kecederaan di kaki kanannya akibat dipukul dengan kayu.

Beliau yang menerima beberapa jahitan akibat kecederaan dalam pergelutan itu ketika ditemui di rumahnya selepas pulang dari Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, petang ini berkata, senapang patahnya turut dilarikan perompak itu.

Abdul Razak berkata selepas diserang, beliau dan isteri, bersama empat anaknya yang berumur antara 11 dan 24, diikat kedua belah tangan, dan mulut mereka ditutup dengan kain.

"Kejadian itu berlaku begitu pantas dan setelah perompak itu beredar dipercayai dengan sebuah kereta, isteri saya berjaya membuka ikatannya, lalu menghubungi jiran dan polis," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain