suria

Para Pemimpin Negara Beri Dorongan Kepada Rakyat M'sia Sempena Kedatangan Tahun Baru

KUALA LUMPUR: Para pemimpin negara hari ini menggesa rakyat Malaysia supaya terus bekerjasama, menyokong program kerajaan, berusaha ke arah penghasilan produktiviti yang maksimum dan mengekalkan perpaduan serta toleransi sambil mereka menyambut kedatangan tahun baru esok.

Dalam perutusan Tahun Baru 2011 mereka, para pemimpin itu menasihati rakyat agar menyemai nilai positif dan menyingkirkan perkara negatif ketika mereka berusaha ke arah merobah negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata rakyat Malaysia mesti bekerja bersama-sama sebagai sebuah keluarga untuk merealisasikan potensi penuh negara ini.

Beliau meminta setiap penduduk Malaysia supaya memahami peranan masing-masing dan memberi tumpuan ke arah pembinaan Malaysia yang kukuh dan bertenaga.

"Saya merayu terutamanya kepada kalangan belia di negara kita yang menjadi harapan di masa depan. Mereka perlu memahami peranan dalam masyarakat dan menyedari bekalan yang perlu dibawa supaya apabila tiba giliran mereka menerajui negara ini, laluan mereka adalah jelas dan mereka akan mara dengan penuh keyakinan dan rasa bangga," kata Palanivel.

Beliau berkata dengan kesedaran yang betul, mereka boleh membina negara Malaysia yang kuat, penyayang dan berjaya.

"Jika mereka mencontohi peranan positif dan laluan yang diamalkan oleh belia dan pergerakan belia yang berjaya sepanjang tahun, masing-masing di peringkat tempatan dan global, saya yakin Malaysia akan muncul sebagai satu daripada negara terhebat di rantau ini, kalau pun bukan di dunia," katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata rakyat perlu meneruskan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperkenalkan pelbagai inisiatif sejak setahun lepas.

"Sokongan rakyat amat penting ke arah memastikan kejayaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang dalam pelaksanaan," katanya.

Dr Chua berkata MCA berharap kerajaan akan mencergaskan pelaburan swasta yang bermaksud dasar yang lebih liberal, selain membuka pintu negara kepada lebih banyak pelaburan dan kepakaran asing untuk mengukuhkan ekonomi.

Beliau berkata berikutan sokongan rakyat, Barisan Nasional (BN) akan terus memberi perhatian terhadap harapan, kebimbangan, jangkaan dan kekecewaan penduduk pelbagai kaum di Malaysia.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata tahun 2010 begitu penting bagi kementerian itu kerana di sebalik cabaran ekonomi global, sektor pelancongan telah meletakkan kedudukannya sebagai penjana pendapatan yang penting bagi ekonomi Malaysia.

"Kita mencapai kadar tertinggi pulangan pelaburan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan untuk promosi dan kos promosi terendah bagi setiap pelancong iaitu RM14. Purata perbelanjaan pelancong ialah RM2,260 bagi setiap perjalanan," katanya.

Dr Ng berkata semua rakyat Malaysia perlu sentiasa berwaspada untuk memastikan Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelancongan terkemuka.

Aktivis sosial dan pemegang amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata rakyat Malaysia harus menjadikan budaya penyelenggaraan dan keselamatan sebagai cara hidup.

"Moga-moga setiap warga Malaysia berazam menjadikan Malaysia tempat yang selamat untuk dihuni," katanya, merujuk kepada kadar kemalangan jalan raya yang tinggi dan tanah runtuh di negara ini.

"Apa yang seharusnya menjadi kebimbangan paling utama ialah rekod Malaysia berhubung keselamatan jalan raya, berdasarkan kepada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya antara 6,000 dan 7,000 setiap tahun," katanya.

Beliau berkata jelas ia adalah penyedar kepada setiap orang, bukan sahaja pemandu dan pengusaha bas tetapi juga pelbagai agensi, supaya memikul sepenuh tanggungjawab dalam menjadikan jalan raya serta lebuh raya di negara ini lebih selamat.

Mengenai 1Malaysia, Lee berkata usaha lebih bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk merealisasikan gesaan Perdana Menteri ke arah masa depan yang dikongsi bersama oleh semua.

Beliau berkata rakyat Malaysia ingin melihat agensi yang berkaitan berusaha lebih gigih untuk memerangi dan mencegah jenayah, serta mewujudkan komuniti lebih selamat pada 2011.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas berkata kestabilan yang dinikmati oleh negara ini terhasil daripada kerjasama kaum bersandarkan kepada semangat toleransi dan saling menghormati.

Beliau berkata perpaduan dan kerjasama rapat dalam kalangan rakyat dapat membantu mencapai matlamat GTP berdasarkan semangat 1Malaysia: Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.

Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Robert Phang Miow Sin berkata kepelbagaian agama yagn diamalkan di negara ini perlu dikekalkan, sama ada penduduknya beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha atau mana-mana agama lain.

"Justeru, semua tutur kata yang membawa kepada perbezaan, ketegangan dan perpecahan mesti dihentikan. Kebersamaan kitalah yang menyatukan kita sebagai sebuah negara sejak merdeka dan ia akan membentuk nasib masa depan kita sebagai warga 1Malaysia," kata Phang, yang juga Pengerusi Jaksa Pendamai.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata persatuan itu akan terus menjadi ejen menyampaikan hasrat dan suara rakyat khususnya suara anak muda.

Beliau berkata bagi tahun 2011, MBM akan menumpukan usaha dalam meningkatkan keupayaan daripada segi penyertaan serta perhubungan dengan semua pihak seterusnya menyerlahkan peranan belia di negara ini.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tahun 2011 adalah tahun menyusun strategi bagi memastikan negara mencapai produktiviti yang optimum.

Katanya keseluruhan jentera kerajaan harus digerakkan ke arah itu di samping memperkukuhkan jalinan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Beliau juga mengingatkan wakil-wakil rakyat di Negeri Sembilan supaya meneruskan segala gerak kerja perkhidmatan masing-masing untuk rakyat.

Di KUCHING, aktivis sosial Datuk Seri Ang Lai Soon berkata perubahan menyeluruh sikap ke arah kebahagiaan dan kebaikan diri, keluarga, komuniti, negara dan dunia keseluruhannya perlu menjadi satu daripada azam Tahun Baru 2011.

Beliau berkata perubahan dalam cara berfikir dapat menjayakan usaha menyebarkan kasih sayang dan menggalakkan keamanan, muhibah serta keharmonian dalam kalangan umat sejagat.

"Sebarang perasaan negatif seperti ketakutan, kebencian, marah, iri hati dan cemburu tidak boleh dibenarkan mengaburi pertimbangan yang rasional, begitu juga anda tidak harus bersikap berat sebelah," katanya.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru ke arah Malaysia yang lebih bersatu dan lebih aman kepada semua rakyat, anggota parti-parti politik dan wakil rakyat.

"Saya ingin melihat wujudnya suatu agenda bersama kebangsaan Malaysia yang merentas kepentingan dan perbezaan pendirian parti politik dalam usaha bersama kita untuk melahirkan kemakmuran yang lebih adil, saksama dan seimbang untuk semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain