suria

Hanya Sempat Larikan Kereta 15 Minit Sebelum Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Dua lelaki hanya sempat melarikan sebuah kereta curi selama 15 minit sebelum mereka ditahan polis di persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Pudu di sini Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata suspek yang berumur 22 dan 42 tahun ditahan oleh beberapa anggota polis trafik kira-kira 7.15 malam.

Ketika itu kereta yang dinaiki suspek sedang menunda sebuah teksi.

Beliau berkata polis sebelum itu menerima aduan daripada seorang lelaki yang memberitahu kereta Proton Wira berwarna hitam miliknya hilang di sebuah kompleks membeli belah berhampiran kawasan Bukit Bintang.

"Mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor mengadu kepada seorang anggota trafik yang sedang bertugas di sekitar tempat kejadian bahawa keretanya telah hilang, lalu anggota itu menghebahkan kejadian itu kepada anggota-anggota polis yang lain," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini Khamis. Amar Singh berkata polis kemudiannya berjaya menemui kereta itu dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan yang sedang mereka naiki, namun suspek enggan berbuat demikian malah cuba melanggar anggota polis.

"Situasi itu menyebabkan kita terpaksa melepaskan dua das tembakan yang mengenai tayar kereta mereka.

"Siasatan awal mendapati modus operandi mereka ialah dengan memperdaya polis dengan mengatakan bahawa kereta mereka sedang digunakan untuk menarik kereta lain, contohnya teksi rosak dan kononnya untuk dibawa ke bengkel," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu mencuri.

Amar Singh berkata suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri. -BERNAMA

Artikel Lain