suria

Sesi Orientasi Dan Pendaftaran Murid Masih Diteruskan Esok

KUALA LUMPUR: Sesi orientasi dan pendaftaran murid bagi persediaan sesi persekolahan 2011 masih diteruskan esok, walaupun telah diisytiharkan cuti umum untuk meraikan kemenangan pasukan bola sepak Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataan di sini hari ini berkata sesi tersebut akan diteruskan memandangkan persiapan awal yang telah dibuat oleh kebanyakan sekolah.

Demi kepentingan pelajaran dan kemudahan kepada ibu bapa, kementerian menyarankan supaya aktiviti tersebut diteruskan, kata kenyataan itu.

Sementara itu, kementerian juga mengucapkan taniah kepada pasukan bola sepak negara dan guru-guru serta menghormati dan menghargai cuti umum esok yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena kejayaan pasukan bola sepak negara itu malam tadi.

Pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, di Jakarta, Indonesia malam tadi, pasukan bola sepak Malaysia menewaskan pasukan Indonesia dengan agregat 4-2.

Kemenangan tersebut mengakhiri penantian Malaysia selama 14 tahun untuk memenangi piala itu. -BERNAMA

Artikel Lain