suria

Pemuda MIC Anjur 'Road Show' Tingkatkan Bilangan Anggota Polis, Tentera Kaum India

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC akan mengadakan 'road show' sebagai langkah meningkatkan bilangan anggota polis dan tentera di kalangan kaum India.

Ketua pergerakan itu T.Mohan berkata 'road show' anjuran bersama Persatuan Bekas Angkatan Tentera India Malaysia dan Bekas Anggota Polis Diraja Malaysia akan diadakan di 10 tempat mulai Februari depan.

"Setakat ini, minat untuk memasuki pasukan tentera di kalangan kaum India masih rendah. Sasaran kita adalah untuk merekrut seramai 2,000 anggota tentera pada tahun akan datang," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MIC, di sini Rabu.

Beliau berkata setakat ini, seramai 3.4 peratus anggota polis terdiri daripada kaum India dan berharap jumlah itu akan meningkat kepada 7.8 peratus pada masa depan.

"Kami mahu mewujudkan kesedaran di kalangan generasi muda dalam masyarakat kita. Mereka yang berminat boleh menyertai 'road show' dan kami juga bersedia memotivasi serta membantu mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain