suria

PAS Tidak Menaruh Harapan Tinggi Menang Di Tenang

KOTA BAHARU: PAS Kelantan tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Johor pada 30 Jan depan, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Katanya, ini berdasarkan kawasan itu terletak dalam kubu kuat Umno dan isu-isu tempatan yang berkaitan dengan rancangan tanah Felda.

Bagaimanapun, katanya, PAS akan tetap memberi tentangan dan saingan hebat kepada parti penyandang walaupun mungkin menghadapi kekalahan pada pilihan raya itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri berkata, pilihan raya kecil itu tidaklah menjadi ukuran kepada Barisan Nasional (BN) untuk meramalkan parti tersebut akan mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Pilihan raya kecil hanya boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki segala kelemahan parti bagi menghadapi pilihan raya yang lebih besar pada masa akan datang. "Saya juga tidak yakin, pucuk pimpinan kerajaan pusat akan menjadikan keputusan pilihan raya itu sebagai titik tolak untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59 daripada B(BN) akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Disember lepas.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan kecil kawasan itu pada 22 Januari dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan 30 Januari. -BERNAMA

Artikel Lain