suria

Omar Enggan Komen Kontroversi Pemilihan Cuepacs

KUALA LUMPUR: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman hari ini berkata segala bantahan yang dikemukakan beberapa anggota gabungan Cuepacs semalam tidak menghalang beliau meneruskan amanah yang diberikan.

Beliau yang dipilih buat penggal kedua bagi sesi 2010-2013 pada Konvensyen Tritahunan ke-25 minggu lepas tidak mahu memberikan apa-apa komen mengenai bantahan itu.

"Fokus utama kepimpinan baru Cuepacs adalah untuk tahun depan, mengenai bantahan itu saya tidak mahu komen apa-apa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Cuepacs di sini.

Semalam beberapa kesatuan anggota gabungan Cuepacs mengemukakan bantahan mendakwa berlaku pelanggaran perlembagaan dan peraturan di konvensyen pemilihan yang berlangsung dari 21 hingga 23 Disember lepas.

Sementara itu Omar berkata tahun depan Cuepacs akan berusaha membanyakkan jumlah anggota gabungan selain mahu semua penjawat awam yang layak menganggotai kesatuan.

Selain itu katanya beliau juga bercadang untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam masa terdekat, bagi membincangkan masalah penjawat awam di bawah Jabatan Pendidikan Negeri yang tidak disambung kontrak.

Menurutnya pada 12 Januari pula beliau akan menghadiri mesyuarat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya bagi membincangkan penilaian baru untuk menggantikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). -BERNAMA

Artikel Lain