suria

1,800 Mangsa Banjir Perlis Yang Tercicir Terima Wang Ihsan Mulai Jumaat

KANGAR: Kerajaan Perlis telah mengenal pasti kira-kira 1,800 mangsa banjir di negeri itu yang tercicir daripada senarai penerima bantuan wang ihsan yang dikeluarkan minggu lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata kesemua mereka akan menerima wang ihsan RM500 bagi setiap keluarga bermula esok sehingga Januari ini.

"Bantuan wang ihsan bagi mangsa tercicir akan diberikan kepada mereka yang telah membuat laporan polis dan mesti mendapat pengesahan daripada JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung)," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra kerajaan negeri bersama petugas banjir, di sini Khamis.

Katanya kebanyakan yang tercicir adalah penduduk kawasan Tambun Tulang, Kayang dan Indera Kayangan.

Keciciran ini bukan disebabkan mereka tidak layak menerima bantuan tetapi disebabkan masalah teknikal termasuk kegagalan mangsa banjir menghantar borang penilaian kepada JKKK, katanya.

Sebelum ini seramai 14,706 mangsa banjir di Perlis telah menerima wang ihsan yang disumbangkan kerajaan pusat untuk mangsa banjir menerusi peruntukan berjumlah RM7.7 juta. - BERNAMA

Artikel Lain