suria

Warga Emas Maut Diserang Empat Lelaki Dalam Kejadian Samun Di Kampar

IPOH: Seorang warga emas maut selepas diserang empat lelaki bersenjatakan besi paip dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Gopeng Jaya, Gopeng awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata V. Perumal, 67, yang ditemui dengan kesan cedera parah di bahagian muka dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika bekas pekerja lombong itu dan isterinya sedang tidur. Kumpulan perompak itu dipercayai masuk melalui pintu belakang rumah pasangan tersebut, katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata kumpulan perompak itu kemudian bertindak mengikat kaki dan tangan Perumal yang tidur di sebuah bilik sebelum memasuki bilik tidur isterinya.

Isteri Perumal yang juga warga emas tidak dicederakan namun Perumal dipercayai dipukul dengan besi paip selain mukanya ditekap dengan bantal, katanya.

Kumpulan perompak itu yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20an kemudian menyamun barang kemas dan wang tunai pasangan suami isteri tersebut dengan nilai keseluruhan kira-kira RM5,000 sebelum melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu samun dan bunuh. Abdul Aziz juga meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di talian 05-4652222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain