suria

Pembunuhan Sosilawati, Skandal PKFZ Dan Inkues Teoh Beng Hock Tarik Perhatian

KUALA LUMPUR: Kes mahkamah berkaitan pembunuhan ngeri jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), inkues Teoh Beng Hock dan pertuduhan rasuah terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo adalah antara yang mencetuskan tumpuan sepanjang tahun 2010.

Perbicaraan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sememangnya ditunggu-tunggu, bagaimanapun gagal menarik perhatian ramai berikutan permohonan demi permohonan oleh pasukan pembelaan diketuai peguam Karpal Singh.

Setakat ini, hanya empat saksi pendakwaan dipanggil iaitu pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tiga pakar dari Hospital Kuala Lumpur yang memeriksanya pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas kejadian liwat didakwa berlaku.

Pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga individu lagi menyaksikan seorang peguam kanan dari Banting, N.Patmanabhan serta tiga pekerja ladangnya didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok pada 13 Okt selepas kesemua mangsa dilaporkan hilang sejak 30 Ogos iaitu sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Januari.

Inkues kematian Teoh Beng Hock, seorang pembantu politik exco kerajaan negeri, akhirnya tiba ke penghujung dan Koroner Azmil Muntapha Abas akan mengumumkan keputusan pada 5 Januari ini.

Inkues itu menyaksikan banyak drama di mahkamah oleh anggota keluarga Teoh dan ahli patologi forensik Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang dilantik kerajaan negeri Selangor, yang mengemukakan pandangan pakar bahawa Teoh tidak mungkin membunuh diri.

Sementara itu, ahli patologi Britain Dr Peter Vaneziz yang dilantik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu inkues itu, memberi pandangan bahawa Teoh, 30, bukan dibunuh atau dicampakkan dari bangunan tinggi kerana kecederaan mangsa konsisten dengan impak jatuh dari tempat tinggi seperti tingkat 14.

Tembakan maut terhadap remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah oleh seorang anggota polis turut mendapat liputan meluas apabila Koperal Jenain Subi, 48, meminta dibicarakan terhadap tuduhan menyebabkan kematian pelajar sekolah itu. Skandal PKFZ yang melibatkan jumlah wang berbilion ringgit memasuki fasa kedua apabila bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya kerana menipu kerajaan Malaysia berhubung pengambilan tanah oleh PKFZ di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas. LAGI SOROTAN-KES MAHKAMAH 3 KUALA LUMPUR Dr Ling, 67, bekas presiden MCA, juga menghadapi satu pertuduhan alternatif menipu Kabinet iaitu menyembunyikan fakta berhubung transaksi berkenaan.

Perbicaraan kes itu bermula 3 Mei depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula berdepan pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.

Bagaimanapun, ahli politik berusia 45 tahun itu meminta dibicarakan atas pertuduhan mendapatkan dua lot tanah berkenaan pada harga separuh lebih rendah daripada nilai pasaran untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45.

Dia didakwa membeli kedua-dua lot tanah di No 8 & 10 Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd pada harga RM3.5 juta sedangkan nilai pasarannya ialah RM6.5 juta.

Kes-kes lain yang menarik perhatian adalah: - Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkat sarjan N.Tharmendran dan pengarah sebuah syarikat bekalan didakwa berhubung kehilangan dua enjin jet F5.

Penyiasat mengesan enjin yang hilang di Uruguay.

- Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Yusoff dilepaskan daripada pertuduhan terakhir iaitu memegang jawatan dalam sebuah syarikat pertanian semasa masih dalam pasukan keselamatan.

Dia didakwa memegang jawatan sebagai pengarah di Kinsajaya Sdn Bhd (Kinsajaya) ketika menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

- Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab Beg Mirza Hadi Hassan Beg, 53, diseret semula ke mahkamah selepas dia dibebaskan daripada pertuduhan menerima rasuah dalam bentuk rawatan pergigian bernilai RM13,860 pada 2004.

Pada 16 Ogos, dia berdepan pertuduhan lebih serius iaitu pecah amanah membabitkan RM888,000 tiga tahun lepas bersama ketua pegawai eksekutif PEMPENA Mohammad Rosly Md Selamat.

- Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Wahid Md Don dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada 15 Okt oleh Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menerima rasuah RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan visa untuk pekerja Bangladesh pada 2008.

Bagaimanapun, timbalannya, Yusof Abu Bakar dihukum penjara berjumlah 56 tahun dan denda RM620,000 selepas didapati bersalah terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM121,500 bagi meluluskan pas lawatan warga China dua tahun lepas.

- Penghantar surat Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya Raja Mohamad Izham, 22, dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Ogos.

- Hakim Mahkamah Syariah Perak Hassan Basri Markum dihukum penjara berjumlah 19 tahun dan didenda RM210,000 selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen Ipoh.

- Bekas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra memfailkan petisyen memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan beberapa isu perundangan mengenai sama ada Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra), ketika menjadi Tengku Mahkota, antara lain, mempunyai kuasa menggugurkan dan melantik mana-mana anggota Majlis Perajaan.

Pada 26 Nov, Mahkamah Persekutuan menolak petisyen tersebut dan memutuskan bahawa Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh sebagai sultan apabila sultan negeri itu mengalami ketidakupayaan seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.

Sementara itu, dalam kes Sagong Tasi melawan Kerajaan Selangor, mahkamah mengiktiraf hak Orang Asli terhadap tanah adat mereka di Bukit Tampoi, Dengkil yang diambil bagi membina Lebuhraya Nilai-Banting ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 1995.

- Mahkamah Tinggi membenarkan peguam wanita bukan Islam Victoria Jayaseele Martin membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan satu perintah mandamus untuk memaksa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima beliau sebagai peguam syarie.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, syarat utama untuk menjadi peguam syarie ialah seseorang itu mesti beragama Islam.

Mahkamah menetapkan 21 Februari untuk mendengar permohonan Martin. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain