suria

Jambatan Dibina Hasil Maklumat Balas Kepada Blog PM

SRI AMAN: Sebuah jambatan yang dibina hasil maklumat balas yang disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi blognya, 1Malaysia, melegakan seorang pengetua sekolah di sini kerana murid-muridnya tidak lagi terdedah kepada bahaya.

Setiap kali sesi persekolahan baru bermula, pengetua Sekolah Kebangsaan Nanga Klassen, Slyvester Embuas, menjadi seorang yang sangat risau mengenai keselamatan pelajar, guru dan ibu bapa yang menggunakan jambatan gantung berusia 40 tahun, satu-satunya hubungan ke sekolah itu, kerana kabelnya boleh tertanggal pada bila-bila masa.

Setiap kali hujan lebat, Embuas, 58, akan berdoa agar dijauhi sebarang perkara tidak diingini.

Namun, apabila sesi persekolahan 2011 bermula 3 Jan nanti, beliau tidak lagi merasa bimbang kerana jambatan baru separa konkrit itu telah siap dibina bersebelahan jambatan gantung sedia ada itu.

"Perasaan saya bercampur gembira dan sedih...gembira kerana impian mendapatkan sebuah jambatan baru sudah tercapai tetapi saya sedih kerana tidak dapat melihat sendiri kumpulan pelajar baru menggunakan jambatan ini kerana saya akan bersara mulai esok, 30 Dis, setelah menjadi pendidik selama 33 tahun," kata Embuas.

Latar belakang mengenai bagaimana jambatan baru itu juga menarik kerana pembinaannya dipersetujui hasil rayuan yang dibuat menerusi laman blog Perdana Menteri.

Embuas melahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang mengambil berat menyediakan jambatan itu yang akan memberi manfaat kepada 145 pelajar dan 20 guru Sekolah Kebangsaan Nanga Klassen.

Sekolah diperbuat daripada kayu itu pada 1959 oleh penduduk Kampung Nanga Klassen kini mempunyai laman webnya sendiri, sknangaklassen.web.com.

Terima kasih Embuas ditujukan khas kepada Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Jerukan dan beberapa kakitangan di pejabat Residen, yang bertanggungjawab mendapatkan jambatan sepanjang 80 meter itu.

Jerukan, 41, yang juga pegawai tadbir di Pejabat Residen Sri Aman sejak Ogos 2008, telah memantau pelaksanaan pembinaan jambatan baru berharga RM400,000 itu bermula tahun lepas setelah permohonan dibuat pada 2006.

Katanya walaupun beberapa permohonan telah dikemukakan menerusi wakil rakyat serta kepada agensi kerajaan, jambatan itu pada mulanya tidak dapat dibina akibat masalah birokrasi dan kewangan.

Kecewa dengan keadaan itu, Jerukan melaporkannya terus kepada Perdana Menteri menerusi blog 1Malaysia dan kepada Jabatan Perdana Menteri.

"Ya, betul, tidak pernah berlaku apa-apa pada jambatan gantung itu, tetapi sebelum terjadi sesuatu malapetaka, kami perlu bertindak," kata Jerukan.

Beliau kemudian mendapatkan semua maklumat dan data yang perlu daripada wakil-wakil rakyat, Jabatan Kerja Raya dan agensi lain di Sri dan Kuching, dan menghantarnya kepada Pejabat Perdana Menteri dan menerusi blog 1Malaysia.

Dan tidak lama selepas itu, penduduk Nanga Klassen telah memberitahu Jerukan bahawa mereka melihat beberapa kenderaan dari Pejabat Pembangunan Negeri di Jabatan Perdana Menteri berada di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, selepas fasa pertama siap pada pertengahan 2009, fasa kedua tergendala seketika kerana ketiadaan peruntukan.

Namun, penangguhan itu adalah untuk tempoh sementara sahaja kerana pada Februari tahun ini, projek itu telah disambung semula.

Tanpa mahu mendapat pujian bagi inisiatifnya itu, Jerukan berkata ia sebenarnya adalah hasil usaha secara berpasukan ke arah memenuhi hasrat Perdana Menteri supaya "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Katanya satu perkara yang beliau pelajari daripada pengalaman itu ialah halangan birokrasi perlu diatasi dalam menjayakan mana-mana projek pembangunan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain