suria

Penjual Buah Sogok Pegawai Maritim Dipenjara Sebulan

SHAH ALAM: Niatnya baik, mahu menjalankan perniagaan burger di kampung halaman disamping meneruskan perniagaan buah-buahan yang telah diusahakan.

Bagi menjamin mutu burger jualannya, Erlanto, 40, ‘mengimport’ daging burger dari Malaysia kerana mendakwa rasanya lebih sedap berbandimg yang terdapat di negaranya.

Bagaimanapun, jalan pintas yang digunakan oleh Erlanto untuk menyeludup daging burger membawanya ke muka pengadilan selepas dia mengaku salah memberi rasuah RM400 kepada Pegawai Penguatkuasa Agensi Maritim Malaysia, Faudzi Fadzil.

Lelaki yang masih bujang itu didakwa memberi suapan itu sebagai dorongan kepada Faudzi untuk tidak menahan kapalnya yang sedang menyeludup kira-kira 4,000 daging burger yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.45 petang, 18 Disember lalu di dalam feri penumpang Boeing Sky King 11, Perairan Pelabuhan Klang, dekat sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding Selasa, Erlanto yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadapnya.

“Saya menjaga emak yang sakit dan dua anak kakak saya yang telah meninggal dunia,” katanya.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob selepas mempertimbangkan rayuan itu menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ahmad Mazni Noh.

Artikel Lain