suria

Pembangkang Dijangka Main Isu Perkauman Pada P/Raya Kecil Tenang - Khairy

SEREMBAN: Pembangkang dijangka menggunakan taktik kotor terutama pada saat-saat akhir menjelang pengundian pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang nanti, termasuk memainkan isu perkauman bagi memecahkan undi pengundi di kawasan itu.

Keyakinan Pengerusi Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin itu bersandarkan kepada tindakan pembangkang di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum 2008.

"Hanya tinggal sehari dua untuk buang undi, sebuah kuil di Negeri Sembilan telah dirobohkan kononnya atas arahan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, sebenarnya beliau tidak pernah pun mengeluarkan arahan itu. Isu ini telah didalangi oleh pembangkang.

"Malangnya majoriti kaum India percaya dengan tuduhan itu," kata anggota Parlimen Rembau itu kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Peralatan Sekolah anjuran MIC di sini hari ini.

Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya selama dua penggal daripada BN, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur pada 17 Dis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Jan tahun depan sebagai hari penamaan calon manakala 30 Jan ialah hari pengundian.

"Saya lihat politik pembangkang ini cukup tidak sihat, politik pecah belah antara masyarakat majmuk dan sebenarnya menimbulkan kebencian antara rakyat Malaysia sebab itu mereka mengharamkan logo 1Malaysia di Selangor.

"Mereka sangat takut dengan gagasan 1Malaysia dan sudah nampak tujuan mereka untuk pecah-belahkan masyarakat majmuk negara ini, katanya.

Sementara itu Ketua MIC Negeri Sembilan Datuk V.S Mogan menasihatkan kaum India berhati-hati dengan sebarang isu yang cuba melibatkan sensitiviti kaum itu.

"Rujuklah kepada pemimpin atau pihak kerajaan untuk mengetahui perkara sebenar.

Jangan mudah biarkan diri kita terhasut.

"Kerajaan bukan suka-suka hati untuk merobohkan tempat ibadat mana-mana kaum pun kecuali selepas melalui proses perbincangan dan perundangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain