suria

Malaysia Tidak Halang Pengambilan Lebih Ramai Pekerja Dari Nepal - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menghalang kedatangan lebih ramai pekerja domestik Nepal ke negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa Nepal mesti menentukan pekerja berkenaan sesuai bekerja di Malaysia dari segi bahasa, kemahiran dan lain-lain.

"Jika mereka boleh membuat persediaan itu, dan majikan kita sedia mengambil mereka, maka tidak ada masalah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bilateral dengan Menteri Buruh dan Pengangkutan Nepal Muhammad Aftab Alam di sini, Selasa.

Subramaniam berkata sehingga kini terdapat kira-kira 175,810 rakyat Nepal bekerja di Malaysia dan 84 peratus daripada mereka adalah pekerja domestik.

Beliau juga berkata kerajaan masih meneliti memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan tenaga kerja Nepal. Sementara itu, Muhammad Aftab berkata Nepal ingin menghantar lebih ramai pekerja mahir dan profesionalnya ke Malaysia dan meluaskan lagi sektor pekerjaan mereka.

"Kami telah bincangkan beberapa isu seperti MoU, sektor kesihatan, pembuatan dan latihan vokasional," katanya.

Mengenai mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam petang ini, Subramaniam berkata mereka telah bertukar-tukar pandangan untuk melancarkan lagi sistem pengambilan pekerja asing khasnya yang melibatkan agen dari kedua-dua buah negara.

Ia termasuk langkah-langkah mengurangkan kos untuk membawa masuk pekerja asing serta isu kebajikan.

Muhammad Aftab dan delegasinya berada di Malaysia bagi menghadiri sambutan 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara. -BERNAMA

Artikel Lain