suria

Kontraktor Terkejut Jumpa 22 Peluru Dalam Plastik Berisi Beras

KUCHING: Seorang kontraktor terkejut apabila menemui satu beg plastik mengandungi 22 butir peluru yang bercampur dengan beras di Lorong Taman Hui Sing di sini, Selasa.

Dalam kejadian 3.15 petang, lelaki berusia 53 tahun itu sedang menunggu mekanik membaiki keretanya yang rosak, telah terjumpa beg plastik tersebut di tepi jalan.

Didorong rasa curiga, beliau membuka beg itu dan terperanjat melihat kandungannya sebelum membuat laporan kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supritendan Pauzi Bujang berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

Sementara itu, sebanyak 31 beg yang mengandungi agen pengoksidaan dalam bahan letupan iaitu ammonium nitrat bernilai RM1,500 didapati lesap dari bilik stor sebuah kuari di Batu 16, Jalan Kuching-Serian di sini.

Kejadian hanya disedari pengusaha mesin kuari pukul 8 pagi semalam, setelah dimaklumkan pengawal keselamatan di situ.

Pauzi yang mengesahkan kejadian itu, berkata polis sedang menjalankan siasatan dan setakat ini, tiada tangkapan dibuat. -BERNAMA

Artikel Lain