suria

Polis Tumpas Geng Samun "Riki"

KUALA LUMPUR: Satu geng samun yang dipercayai aktif di sekitar Ampang di sini sejak enam bulan lalu dikenali sebagai geng "Riki" tumpas selepas polis menahan lima lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai jenis barangan bernilai RM100,000 Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kejayaan polis memberkas anggota kumpulan itu yang berusia antara 31 dan 39 tahun adalah hasil maklumat orang ramai.

"Ekoran daripada tangkapan yang dijalankan ke atas mereka, polis akhirnya berjaya menyelesaikan 27 kes samun dan pecah rumah di sekitar daerah Ampang," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata serbuan ke atas sebuah rumah di Pandah Indah di sini dilakukan setelah polis berjaya menahan seorang lelaki yang melakukan kes samun ke atas seorang lelaki warga Taiwan di sebuah Kondominium di Jalan Bukit Pandan Bestari 5, Bukit Permai, pada pukul 5.30 petang.

"Akibat kejadian samun tersebut lelaki Taiwan itu cedera di bahagian dada dan lengan akibat ditikam oleh lelaki yang menyamun tersebut.

"Ekoran daripada tangkapan yang dibuat ke atas lelaki yang menyamun tersebut juga, satu pasukan polis kemudian telah menyerbu sebuah kondominium dan berjaya menangkap dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand," kata Amiruddin.

Menurutnya ekoran daripada tangkapan tersebut, polis kemudian membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Pandan Cahaya, Ampang dan berjaya menangkap dua lelaki.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan orang ketika melakukan rompakan.

"Sekiranya mereka ini disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki warga Afrika yang terlibat dalam kegiatan pemalsuan pasport ditahan bersama tujuh lagi pasport palsu, iaitu Kingdom of Lesotho dan Ghana, Khamis lepas.

Amiruddin berkata lelaki itu ditahan di sebuah premis di Pandan Perdana di sini kira-kira pukul 6.30 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

"Hasil pemeriksaan di dalam beg galas suspek berumur 26 tahun itu, kita (polis) menemui sembilan pasport palsu, termasuk dua miliknya yang kedua-duanya mempunyai gambar yang sama, tetapi berlainan nama serta bertarikh pada tahun 2007 dan 2008.

"Kita juga menemui beberapa peralatan termasuk cop "Commissioner of Malaysia" dan cop-cop Jabatan Imigresen yang digunakan untuk membuat pasport palsu tersebut," katanya.

Beliau berkata suspek yang masuk ke Malaysia menggunakan pas pelajar di sebuah institusi di negara ini, disiasat mengikut Seksyen 55 D Akta Imigresen dan Seksyen 473 Kanun Keseksaan kerana memiliki dengan niat hendak memalsukan dokumen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain