suria

MTUC Bukan Paksi Pembangkang

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik dalam perjuangannya.

Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasegaran berkata, kongres itu akan terus memberi tumpuan kepada isu-isu yang diperjuangkan iaitu membela kepentingan pekerja di negara ini.

Beliau menegaskan, tidak timbul isu kongres itu berkiblatkan pembangkang walaupun presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud adalah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Memang benar beliau ahli PKR, tetapi sepanjang beliau memegang jawatan itu segala perjuangan adalah demi perjuangan MTUC dan bukannya berasaskan agenda politik," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Beliau mengulas mengenai cakap-cakap kononnya kongres itu memihak kepada pembangkang apabila barisan pimpinannya termasuk yang bakal bertanding pada pemilihan Rabu ini adalah anggota PKR.

Pada pemilihan itu nanti penyandang Syed Shahir akan dicabar oleh Timbalannya Mohd Khalid Atan (Kesatuan Sekerja Industri Balak) dalam pertembungan satu lawan satu.

Sementara itu jawatan Setiausaha Agung yang pula yang dikosongkan oleh veteran Rajasegaran, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Abdul Halim Mansor (Kesatuan Sekerja Petroleum dan Kimia), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kelab Kesatuan Sekerja) dan J. Solomon (Nube-Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank).

Seramai 37 calon lagi akan bersaing bagi merebut 15 jawatan dalam Kongres itu.

Dalam pada itu, Rajasegaran berkata, MTUC sendiri dianggotai ahli dari pelbagai parti politik dan setakat ini tidak terdapat sebarang masalah melibatkan fahaman yang berbeza.

"Semua anggota jelas dengan perjuangan MTUC dan perkara melibatkan politik tidak pernah dibincangkan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai mensyuarat pemilihan kongres itu yang bakal berlangsung pada Rabu ini, Rajasegaran berkata, seramai 550 anggota dijangka hadir pada pemilihan itu daripada 121 kesatuan.

Katanya lagi, 200 pemerhati juga dijangka akan hadir pada pemilihan itu nanti.

Rajasegaran berkata, selain tumpuan kepada pemilihan jawatan Presiden dan Setiausaha Agung, MTUC akan bersidang bagi membincangkan beberapa isu penting seperti pindaan kepada pelbagai undang-undang berkaitan kerja, dasar gaji minimum, penyelesaian kepada masalah mengenai pekerja asing, bonus pekerja dan sebagainya.

"Walaupun tahu tumpuan akan lebih kepada pemilihan jawatan yang dipertandingkan, kami berharap isu yang bakal dibincangkan akan mendapat perhatian semua anggota dan masyarakat.

"Apa jua keputusan pada pemilihan itu nanti saya harap ia akan menguatkan lagi peranan MTUC dalam membela nasib pekerja di negara ini.

"Perbincangan secara berterusan dengan pihak kerajaan sekaligus dapat melindungi pekerja," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain