suria

MARA peruntuk RM150 Juta Pinjaman Usahawan Bumiputera Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sejumlah RM150 juta pinjaman kepada usahawan Bumiputera di seluruh negara untuk tahun depan, kata Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau berkata pinjaman yang akan diberikan itu meliputi pelbagai bidang keusahawanan kecuali pertanian, tetapi keutamaan akan diberikan kepada bidang runcit. "Secara purata, setiap peminjam akan memperoleh kira-kira RM50,000. Jumlah peruntukan ini (RM150 juta) sebenarnya masih kecil tapi ia berdasarkan kutipan semula pinjaman yang kita telah perolehi.

Kalau lebih, maka kita akan tambah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula Medan Selera Rakyat, di Medan MARA di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, setiap pemohon pinjaman perlu memenuhi kriteria tertentu termasuk lulus ujian psikometrik bagi menilai tahap keusahawanan mereka. Ujian itu yang mula diperkenalkan November lepas antara lain mengukur nilai keusahawanan setiap individu daripada segi daya tahan, kemampuan bersaing, keberanian menanggung risiko dan sebagainya.

"Walaupun kertas kerja yang mereka sediakan bagus, pembentangan mereka juga bagus tapi mereka perlu lulus ujian ini untuk kita nilai sejauh mana mereka mampu bertahan dalam perniagaan," katanya.

Selain itu, Idris turut memaklumkan kutipan sewa premis daripada 356 penyewa di bangunan Medan MARA telah mencapai 97 peratus sehingga akhir tahun ini. Katanya ia jelas menunjukan transformasi dalam sikap pegawai MARA yang menjalankan tugas dan kesedaran peniaga untuk menjelaskan hutang masing-masing.

Mengenai penjenamaan semula Medan Selera Rakyat, Idris berkata ia bertujuan menjadikan kawasan itu menjadi lebih menarik, selesa, bersih dan santai. Bertemakan 'Green Peace', projek membaik pulih medan selera itu telah dimulakan 1 November lepas dan siap sepenuhnya pada 17 Disember dengan kos kira-kira RM190,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain