suria

Kempen Menjelang Pemilihan MTUC Mulai Memuncak

PETALING JAYA: Suasana kempen mulai rancak di kalangan kelompok dan individu yang akan bertanding untuk membentuk kepimpinan baru Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pada mesyuarat pemilihan tiga tahun sekali kongres itu yang akan berlangsung Rabu ini.

Saingan yang menjadi tumpuan sudah pasti berkisar kepada pertandingan bagi merebut jawatan Setiausaha Agung.

Pada pemilihan itu nanti penyandang Presiden, Syed Shahir Syed Mohamud akan dicabar oleh Timbalannya Mohd Khalid Atan (Kesatuan Sekerja Industri Balak) dalam pertembungan satu lawan satu.

Sementara itu jawatan Setiausaha Agung yang pula yang dikosongkan oleh veteran G. Rajasegaran, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Abdul Halim Mansor (Kesatuan Sekerja Petroleum dan Kimia), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kelab Kesatuan Sekerja) dan J. Solomon (Nube-Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank).

Seramai 37 calon lagi akan bersaing bagi merebut 15 jawatan dalam Kongres itu.

Sejumlah 546 perwakilan dari 121 kesatuan layak untuk mengundi.

Kelompok yang paling menjadi tumpuan sudah pasti dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yang memiliki 42 undi, Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja Elektrik 20 undi dan Nube 13.

Sumber MTUC memberitahu BERNAMA bahawa majoriti anggota mengharapkan penyelesaian segera kepada beberapa isu penting seperti pindaan kepada pelbagai undang-undang berkaitan kerja, dasar gaji minimum, penyelesaian kepada masalah mengenai pekerja asing, penubuhan Dana Pencen untuk pekerja sektor swasta, dan lain-lain perkara berkaitan gaji, bonus serta keadaan kerja.

G.Rajasegaran berkata, MTUC perlu terus memberi tumpuan kepada isu-isu berkenaan, yang diperjuangkan oleh kepimpinan semasa sejak sekian lama, dan berusaha membawa hasil yang boleh dibanggakan.

Katanya beliau juga merasakan bahawa kepimpinan baru itu perlu selalu berbincang dengan kerajaan, dan bekerja keras demi pekerja, dan juga negara.

"Saya sedar sebelum ini kongres dilihat seperti anti kerajaan kerana beberapa pemimpinnya adalah anggota parti pembangkang. Adalah penting bagi kepimpinan akan datang berusaha mengubah anggapan begini dan bekerja dengan ikhlas bersama kerajaan untuk membawa manfaat kepada anggota," tambahnya.

Setiausaha Agung Nube, J. Solomon bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan itu dan berkata sekiranya dia terpilih, dia akan berusaha keras untuk berbincang bukan sahaja dengan kerajaan, malah juga dengan sektor swasta untuk menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara.

"Kami mahukan supaya kumpulan pekerja dilayan dengan penuh hormat dan sebagai rakan kongsi penting dalam pembangunan," katanya.

Sementara itu Mohd Khalid berkata sekiranya terpilih, dia akan berusaha mengembalikan "imej MTUC sebagai sebuah pertubuhan kerajaan yang bebas".

"Saya akan pastikan bahawa MTUC bersatu dan menjadi sebuah pertubuhan yang benar-benar menjuarai dan melindungi pekerja," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain