suria

Seorang Lagi Mangsa Kemalangan Ngeri Bas Persiaran Di Simpang Pulai Meninggal Dunia

IPOH: Seorang lagi mangsa kemalangan ngeri bas persiaran yang berlaku di Simpang Pulai di sini Isnin lepas meninggal dunia pada Ahad, menjadikan kesemuanya yang maut dalam kejadian itu kini berjumlah 28 orang.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab berkata Duranee Songsern atau nama islamnya Dariah Ismail, 59, meninggal dunia pada 2.26 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

"Pihak yang berkenaan sedang menyiapkan proses dokumentasi bagi penghantaran jenazah ke sempadan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sebelum ini Darunee yang datang ke Malaysia ini untuk melancong ke Cameron Highlands, dirawat di Unit Rawatan Rapi, HRPB dan tidak dapat dipindahkan ke Hospital Hatyai kerana keadaannya yang nazak.

Mohd Rodzi berkata ketika ini dua lagi mangsa kemalangan itu sedang dirawat di hospital berkenaan.

"Hanya dua mangsa sedang dirawat di HRPB kini. Sebelum ini ada enam orang tetapi seorang meninggal dunia, dua mangsa yang cedera dipindahkan ke Hospital Hatyai semalam dan seorang lagi pada hari Jumaat," katanya.

Sementara itu, anak sulung Duranee, Faisal Ismail, 40, berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di Kampung Nyaring, Pattani, malam ini atau pagi esok.

"Saya sedang menunggu dokumen daripada pihak terbabit untuk bawa keluar jenazah menerusi pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam," katanya.

Dalam kejadian Isnin lepas, bas yang membawa pelancong warga Thailand terbabas dan terbalik di Kilometer 15 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai ketika dalam perjalanan menuruni pusat pelancongan Cameron Highlands.

Kejadian itu mengakibatkan 27 orang, termasuk dua rakyat Malaysia terkorban, manakala 10 yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya paling buruk dalam sejarah negara itu.

Kesemua mayat 25 pelancong Thai dan seorang yang cedera dibawa pulang dengan dua pesawat khas Tentera Udara Diraja Thai dari Subang pada Rabu lepas manakala tiga yang cedera dipindahkan ke Hospital Hatyai melalui jalan raya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain