suria

Semangat Setiakawan BN Bolehkan Sekolah Tamil Terus Beroperasi - Pemuda MIC

KLANG: Semangat setiakawan yang terjalin dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) telah membolehkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terus beroperasi untuk memelihara kebudayaan masyarakat India dan bahasa Tamil.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan berkata malahan di India sendiri pun tidak banyak sekolah Tamil didirikan melainkan di negeri Tamil Nadu dan Pondicherry.

Bagaimanapun, katanya keadaan di Malaysia adalah unik dengan memberikan contoh di Kelantan iaitu walaupun masyarakat India hanya merupakan satu peratus daripada jumlah penduduk di negeri itu, tetapi sekolah Tamil tetap ada.

Oleh yang demikian, beliau berasa pelik kerana masih ada pihak yang mempertikaikan apakah sumbangan BN atau MIC kepada masyarakat India, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada murid miskin di kawasan Parlimen Kapar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Methodist Kapar di sini, Ahad.

Pada majlis itu seramai 250 murid miskin menerima bantuan peralatan dan beg sekolah menerusi Program Balik Sekolah MIC Selangor.

Mohan berkata kerajaan kini juga dalam proses menukarkan 13 sekolah Tamil bantuan modal di seluruh negara kepada sekolah bantuan penuh.

"Sekarang tidak banyak beza antara sekolah bantuan penuh dan bantuan modal kerana semua kerajaan bayar, kalau dahulu sekolah-sekolah Tamil di estet dibiayai oleh pihak majikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain