suria

PM Arah Masalah Penduduk Di Taman Suria Diselesaikan Segera

KUALA SELANGOR: Kira-kira 1,000 penduduk di Taman Suria, Bestari Jaya di sini yang mendakwa terdedah kepada pencemaran berpunca daripada sebuah kilang sarung tangan getah berhampiran perumahan mereka kini mampu menarik nafas lega apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengarahkan agar isu itu diselesaikan dengan segera.

Perkara itu disampaikan oleh Datuk Suhaimi Ibrahim, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mewakili menteri itu pada sesi perjumpaan dengan penduduk taman itu di sini, Ahad.

"Pada Jumaat lepas saya telah terima arahan daripada Perdana Menteri untuk menemui wakil-wakil penduduk bagi menangani isu ini. Perdana Menteri telah mengarahkan supaya menyediakan laporan terperinci agar tindakan dapat diambil dengan segera," katanya.

Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Abidin Supardi, penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, K. Parthiban serta wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Suhaimi berkata kerajaan pusat kesal dengan kerajaan negeri Selangor yang mengambil sikap lepas tangan dan masih membenarkan kilang terbabit beroperasi walaupun jelas wujud unsur pencemaran yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan keselamatan penduduk di taman itu.

Katanya kerajaan pusat akan meneliti isu yang dibangkitkan oleh penduduk taman itu seperti masalah pelepasan asap dan gas amonia, kedudukan bangunan tambahan kilang itu yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan pembuangan sisa toksik ke dalam parit bersebelahan taman itu.

"Saya akan buat satu memorandum dan laporan terperinci berhubung isu ini dan akan serahkannya kepada Perdana Menteri, Isnin," katanya.

Suhaimi berkata pihak pengurusan kilang terbabit perlu meneliti semula aspek keselamatan operasinya bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan itu terpelihara, lebih-lebih lagi dengan keupayaan teknologi moden pada masa ini yang membolehkan kaedah khusus diwujudkan bagi mengawal pengeluaran asap, gas dan sisa toksik.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk taman itu, P.Jagan berkata penduduk tidak meminta pihak pengurusan kilang menghentikan operasi kilang sebaliknya hanya meminta menghentikan operasi di bangunan tambahan yang terletak kira-kira 30 meter dengan kawasan perumahan mereka.

"Selama dua tahun ini, pelbagai aduan telah kami buat seperti menulis surat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan membuat laporan polis tetapi sehingga hari ini Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) tidak buat apa-apa malah kerajaan negeri keluarkan kenyataan bahawa mereka berpuas hati dengan tahap keselamatan kilang itu dan menafikan bahawa berlaku pencemaran," katanya.

Jagan berkata apa yang lebih dikesalkan, pengerusi jawatankuasa penduduk P.Shamugam dan penasihat jawatankuasa penduduk A.Nagendran menerima notis bertarikh 16 Disember lepas daripada pihak pengurusan kilang yang menuntut mereka meminta maaf dalam tempoh tujuh hari kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam media.

"Tindakan ini kelihatan seperti ingin mengugut dan menakutkan kami supaya tidak ambil tindakan kepada mereka. Adakah menjadi satu kesalahan apabila kami suarakan masalah bagi mewakili suara penduduk taman ini? Tindakan ini sangat menyakitkan hati kami," katanya.

Terdahulu, Suhaimi melihat sendiri keadaan parit yang dicemari dengan sisa toksik dan meninjau sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Kira-kira 100 penduduk turut berkumpul secara aman dengan memegang beberapa sepanduk dan kain pemidang sebagai bantahan terhadap pencemaran alam sekitar yang dikatakan berpunca dari kilang terbabit.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain