suria

Larangan Guna Logo 1Malaysia Di Selangor Langkah "Membinasakan" - Tsu Koon

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini berkata pemimpin kerajaan pakatan pembangkang Selangor sepatutnya bersaing dengan Barisan Nasional (BN) dalam mempromosikan semangat dan nilai gagasan 1Malaysia daripada melarang penggunaan logo gagasan itu.

Beliau berkata tindakan melarang penggunaan simbol 1Malaysia di dalam iklan dan papan tanda di seluruh negeri itu merupakan langkah negatif dan membinasakan yang bercanggah dengan semangat demokrasi dan kebebasan.

"Sekiranya mereka menolak atau takut dengan simbol 1Malaysia atas apa juga alasan, mereka boleh mempromosikan slogan dan simbol lain pilihan mereka dan memberikan saingan. Mereka tidak sepatutnya melarang penggunaan mana-mana simbol dengan syarat simbol itu tidak melanggar kesopanan atau sensitiviti.

"Ironinya ini menunjukkan sikap hipokrit pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang yang selama ini kononnya "memperjuangkan" demokrasi dan kebebasan tetapi dengan angkuhnya menggunakan taktik itu apabila mereka berkuasa. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan berlaku sekiranya mereka berjaya mengambil alih Putrajaya," katanya dalam kenyataan.

Pada 22 Dis, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Selangor Ronnie Liu berkata logo 1Malaysia membawa mesej politik dan undang-undang kecil majlis tempatan melarang pengiklanan politik di papan iklan dan dengan itu kerajaan negeri Selangor melarang penggunaannya.

Dr Koh berkata beliau tidak nampak sebarang alasan rasional kenapa pakatan pembangkang beria-ia menentang penggunaan simbol itu yang kini didapati semakin berkesan dalam menyatukan dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain